PRAMAC Ducati Tak Perlukan Khidmat Jorge Martin 2025

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/19/20241 min read

PENGURUS pasukan Pramac Ducati, Gino Borsoi tidak mahu berselindung dengan menyatakan pelumba bintangnya Jorge Martin berkemungkinan besar akan meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim ini.

Martin yang juga naib juara MotoGP musim lalu sebelum ini pernah mendedahkan dia tidak akan beraksi bersama pasukan satelit pada musim 2025.

Kenyataan itu tampak selari dengan kata-kata Borsoi yang menyertai Pramac Ducati pada musim lalu dalam satu temuramah bersama Motorsport.com baru-baru ini.

"Saya fikir perjalanan Jorge dengan pasukan Pramac, sama ada kamu suka atau tidak sudah menghampiri penghujung," kata Borsoi.

"Dia sudah berada di sini selama beberapa tahun, dia memulakan tahun pertamanya di MotoGP di sini dan kami kini berada di tahun keempatnya.

"Langkah seterusnya adalah untuk berada bersama jentera rasmi, tidak kira Ducati atau apa saja.

"Dia terus membuktikan yang dia adalah salah seorang pelumba terpantas, mungkin paling pantas atau setanding dengan Pecco, dan dia memang layak dengan memperoleh musim yang hebat bersama kami tahun ini, untuk memperoleh jentera 'Factory' tahun depan."

Pelumba kelahiran Sepanyol, Martin menyertai Pramac Ducati pada musim 2021 selepas dua musim di Moto2 mengikuti kejayaannya meraih gelaran dunia Moto3 pada 2018.

Bersaing sengit dengan Francesco Bagnaia merebut kejuaraan dunia musim lalu, Martin begitupun dinafikan tempat di pasukan utama Ducati Lenovo musim ini bagi memberi laluan kepada Enea Bastianini.