PRAMAC Jangka Kekal Dengan Ducati, Yamaha Dalam 'Kesukaran'?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/19/20241 min read

YAMAHA diketahui sedang 'memburu' pasukan satelit dalam kempen MotoGP pada musim depan dan sudah pun mengadakan perbincangan dengan beberapa pasukan antaranya Pramac.

Begitupun, timbul perkhabaran kurang enak membabitkan perkara berkenaan kerana jika Yamaha tidak berjaya memujuk pasukan satelit Ducati itu, peluang untuk menambah jentera M1 di grid nampak sukar.

Pengeluar Jepun itu sebelum ini dikaitkan dengan pasukan milik Valentino Rossi VR46 namun dikatakan tidak berjaya sekalipun memiliki hubungan rapat dengan legenda MotoGP itu.

Mereka kemudian mengalih tumpuan kepada Pramac bersama tawaran lumayan namun menurut laporan Motorsport, 'sesuatu berlaku' di Le Mans yang menyaksikan peluang pasukan itu kekal bersama Ducati berubah daripada 50-50 kepada 95 peratus.

"Pilihan pertama kami sentiasa VR46, tetapi kami tidak dapat meyakinkan mereka," kata sumber daripada Yamaha memetik laporan Motorsport.

"Jadi pelab B adalah Pramac, dan kami berharap mereka akan menerima tawaran yang kami berikan kepada mereka."

Tetapi pengeluar itu mengakui mereka tidak memiliki pelan C.

"Kami berharap yang Pramac akan menerima tawaran kami, yang juga amat menarik. Selain itu kami tidak mempunyai alternatif lain dalam perancangan kami."

Pramac memiliki masa sehingga penghujung Julai untuk mengesahkan kepada Ducati sama ada mereka mahu mengaktifkan klausa sama ada ingin kekal bersama pengeluar Itali itu untuk dua musim lagi atau tidak.

Jika Pramac ingin kekal, apa yang dimahukan pasukan itu adalah jentera spesfimasi kilang namun pemilik pasukan itu, Paolo Campinoti dilaporkan bimbang dengan 'persaingan' dengan pasukan satelit Ducati lain.

Ketika ini, Pramac menjadi satu-satunya pasukan satelit Ducati yang memperoleh dua jentera 'kilang' atau spesifikasi terkini dengan VR46 dan Gresnini memperoleh jentera spesifikasi 2023.

Dan berikutan 'persaingan' itu, Campinoti dikatakan 'menimbangkan dengan serius' tawaran Yamaha.