PRAMAC Racing Nafi Kehadiran Toprak 100 Peratus

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/2/20241 min read

PRAMAC Racing yang mengubah jentera daripada Ducati kepada Yamaha di MotoGP bermula musim depan menjelaskan pasukan itu tidak akan mendapatkan khidmat juara dunia WorldSBK 2021, Toprak Razgatlioglu.

Perkembangan itu disuarakan sendiri pemiliknya, Paolo Campinoti ketika ditanya mengenai persoalan berkenaan, memetik laporan MotoGP.com.

Bintang Turki, Razgatlioglu sebelum ini dilaporkan berhasrat untuk 'berhijrah' daripada WorldSBK kepada MotoGP seawal musim depan namun tiada perincian lanjut diumumkan.

"Perkara itu (kehadiran Razgatlioglu di Pramac 2025) saya fikir ia hanya... Saya maksudkan, ia hanya gosip," kata Campinoti.

Ketika ditanya adalah ia akan berlaku, Campinoti menambah: "Tidak, 100 peratus."

Pramac Racing kehilangan pelumba berkualitinya, Jorge Martin yang menyertai Aprilia musim depan dengan seorang lagi pelumbanya, Franco Morbidelli dikatakan berkemungkinan besar tidak akan berlumba bersama pengeluar itu lagi.

Situasi itu sememangnya mengecilkan prospek buat Pramac dengan nama yang dikaitkan termasuklah pelumba Australia, Jack Miller dan pelumba Itali, Fabio di Giannantonio.

Tetapi sedikit mengejutkan, antara yang turut 'dipetik' adalah pelumba daripada WorldSBK dan selain Razgatlioglu, nama bekas pelumba MotoGP, Andrea Iannone turut dikaitkan.

"Kami baru saja mengambil keputusan yang amat besar (Meninggalkan Ducati untuk menyertai Yamaha), jadi kami belum lagi berfikir mengenai pelumba," kata Campinoti.

"Kita akan melihatnya dalam tempoh beberapa minggu lagi dan sudah tentu kami akan memutuskannya.

"Kami cuba untuk mencari pelumba-pelumba terbaik yang ada untuk menjadikan projek ini berjaya."

Mengulas mengenai Iannone yang kembali beraksi selepas penggantungan empat tahun susulan doping, nada Campinoti sedikit berbeza.

"Saya terikat dengannya secara peribadi tetapi saya tidak mahu memberikan sebarang ilusi... maksud saya, jika Yamaha membenarkannya (Iannone) untuk mencuba jentera, saya akan amat gembira. Tetapi keputusan bukan di tangan saya."

Razgatlioglu sebelum ini pernah menguji jentera Yamaha-M1 beberapa kali sebelum ini tetapi respon yang diperoleh tidak begitu memberangsangkan sebelum membuat keputusan menyertai BMW Motorrad musim ini.