PRAMAC Tinggalkan Ducati?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/26/20241 min read

PASUKAN satelit Ducati di MotoGP, Pramac Racing dilaporkan memiliki klausa yang membolehkannya meninggalkan pengeluar Itali itu pada musim 2025.

Memetik laporan Motorsport, pengurusan tertinggi Pramac didedahkan sudah mengadakan perbincangan dengan dua pengeluar lain iaitu Yamaha dan KTM membabitkan perkara berkenaan.

Pramac memiliki klausa untuk meninggalkan Ducati dalam kontrak ketika ini yang membenarkan mereka untuk menamatkan hubungan dengan Ducati dan menyertai pengeluar lain pada 2025.

Dan Ducati sudah pun meletakkan tarikh akhir iaitu pada rehat musim panas untuk Pramac memuktamadkan keputusan mereka.

Begitupun berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada sumber di Pramac, pasukan yang dibekalkan dengan jentera spesifikasi terkini Ducati GP24 itu dikatakan 100 peratus akan terus bersama Ducati.

Jika Pramac tidak meneruskan kerjasama dengan Ducati, paling terkesan pastinya adalah pelumba muda yang baharu dipikat pengeluar itu, Fermin Aldeguer.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu sah akan melangkah ke MotoGP musim depan namun pasukan mana yang disertainya belum diumumkan dengan kemungkinan paling besar adalah Pramac.

Begitupun, ia tidak terlalu membimbangkan kerana Ducati masih memiliki dua pasukan satelit di grid iaitu Gresini Ducati dan VR46 Ducati.

Seperti diketahui, Yamaha dan KTM memang berhasrat untuk meningkatkan kehadiran mereka di MotoGP.

Yamaha ketika ini hanya bersaing dengan dua jentera tanpa pasukan satelit selepas Petronas SRT meninggalkan pengeluar Jepun itu.

KTM sudah pun memiliki pasukan satelit Tech3 GASGAS tetapi pengurusan pengeluar itu berharap pembabitkan mereka ditingkatkan.