PRAMAC Yamaha Dijadual Umum Pelumba MotoGP 2025 Bulan Ini, Dedah Sebab Lewat
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/4/20241 min read


PASUKAN satelit baharu Yamaha di MotoGP, Pramac Racing dijangka bakal muktamadkan teka-teki membabitkan barisan pelumbanya bagi kempen 2025 bulan ini.
Setakat ini, hanya bekas pasukan satelit Ducati itu masih belum melengkapkan senarai pelumbanya musim depan dengan dua 'otai' di MotoGP, Miguel Oliveira dan Jack Miller kuat dikaitkan dengan posisi berkenaan.
Memetik laporan TNT Sports, pengumuman itu dijangka akan dibuat pada minggu ini di Misano, seperti yang dijelaskan bos Pramac, Gino Borsoi.
"Seperti semua orang tahu, kami sudah pun memutuskan perkara membabitkan barisan pelumba kami," kata Borsoi.
"Di (Pusingan pertama di Misano minggu ini) atau (di pusingan kedua Misano pada 20 September) kami akan mengumumkan mengenai masa depan kami."
Ketika ditanya mengapa pengumuman itu berlaku agak lambat, Borsoi menjelaskan masih ada beberapa lagi perincian belum diselesaikan.
Selain Oliveira dan Miller, pasukan itu pernah dikaitkan dengan bakat-bakat baharu daripada Moto2 namun berdasarkan situasi semasa Yamaha ketika ini, pelumba berpengalaman lebih diperlukan.
Seperti diketahui, kedua-dua pelumba pernah menjuarai perlumbaan di MotoGP dengan pelumba Trackhouse Aprilia Oliveira memiliki pengalaman bersama KTM dan Aprilia manakala Miller pernah berlumba bersama Honda, Ducati dan KTM di pentas tertinggi itu.
Bagi Yamaha, kehadiran Pramac menyaksikan pengeluar Jepun itu bakal memiliki empat jentera di grid MotoGP musim depan dengan pasukan milik rakyat Malaysia, RNF Racing menjadi pasukan terakhir bersama pasukan itu pada 2022.
