PRAMAC Yamaha Ikat Jack Miller Tapi...

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/19/20241 min read

JACK Miller melengkapkan tandatangan yang menyaksikannya menyertai pasukan satelit baharu Yamaha, Pramac Yamaha bagi kempen MotoGP musim depan.

Pengesahan berkenaan menyaksikan pelumba kelahiran Australia melengkapkan senarai pelumba di grid MotoGP musim depan dan akan bergandingan bersama Miguel Oliveira.

Seperti Oliveira, Miller menandatangani kontrak bersama Yamaha dan dijangka akan memperoleh jentera pesifikasi terkini Yamaha M1 dan disokong penuh pasukan 'kilang'.

Tetapi perbezaannya adalah Miller hanya memiliki kontrak selama setahun dan bukan dua tahun seperti rakan sepasukannya.

"Kami gembira untuk mengumumkan yang Jack menyertai Prima Pramac Racing dan mengalu-alukan kehadirannya bersama kumpulan Yamaha MotoGP," kata Pengarah Urusan Yamaha Racing, Lin Jarvis.

"Dengan pengalaman selama 10 tahun di pentas MotoGP bersama tiga pengeluar berbeza, Jack akan menjadi aset yang berharga kepada Yamaha.

"Kelajuannya, pengetahuannya, etika kerjanya dan semangat berpasukan menjadi perkara yang bernilai terhadap projek kami dengan kami merancang untuk meningkatkan prestasi M1 bagi 2025 dan musim seterusnya.

"Yamaha akan menyokongnya dalam segala aspek yang kami boleh."

Sebagai info, Miller sebelum ini pernah beraksi bersama Pramac namun menggunakan jentera Ducati bagi musim 2018 hingga 2020. Dia kemudian dinaikkan pangkat ke pasukan 'kilang' Ducati dan memenangi tiga perlumbaan.

Miller yang pernah menaiki sembilan podium ketika bersama Pramac Ducati kemudian menyertai KTM pada permulaan musim 2023.

"Kami gembira dengan kepulangan semula Jack kepada pasukan," kta pemilik Pramac Racing, Paolo Campinoti. "Kami menyokong permulaan kariernya di MotoGP, dan kini bersama kerjasama baharu dengan Yamaha, dan mengharapkan sokongan pelumba yang kami kenali amat baik.

"Kami mengucapkan Jack yang terbaik untuk musim ini dan gembira untuk mengalu-alukan kehadirannya kembali bersama pasukan pada 2025."

Sebelum ini, Miller pernah mengakui peluangnya untuk kekal beraksi di MotoGP nampak kabur dan tidak mendapat mana-mana tawaran selepas tempatnya di KTM pada musim depan sah diambil alih oleh pelumba Sepanyol, Pedro Acosta.

Bersama KTM, Miller berjaya menaiki podium pada penampilan keempatnya bersama pengeluar Austria itu pada musim lalu di Jerez sebelum meraih podium kedua pada Perlumbaan Sprint di Jerman.

Tetapi, itu adalah kali terakhir pelumba yang tidak pernah beraksi di Moto2 itu berada di podium dan sedang menghuni kedudukan ke-15 carta pelumba menuju aksi kedua di Misano, Itali minggu ini.