PRESTASI Enjin V4 Lagi Teruk Dari 4 Silinder Sebaris - Fabio Quartararo

Quartararo mencatat masa terbaik 1 minit (m) 31.781 saat (s), hanya sedikit lebih pantas daripada masa perlumbaannya dalam GP San Marino, tetapi jauh ketinggalan berbanding masa kelayakan terbaiknya 1m 30.228s

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/16/20251 min read

RAMAI yang teruja untuk mengetahui maklum balas juara dunia MotoGP 2021, Fabio Quartararo terhadap jentera MotoGP prototaip Yamaha dengan enjin V4 selepas pelumba itu mengujinya buat kali pertama secara serius di ujian pasca perlumbaan Misano.

Quartararo mencatat masa terbaik 1 minit (m) 31.781 saat (s), hanya sedikit lebih pantas daripada masa perlumbaannya dalam GP San Marino, tetapi jauh ketinggalan berbanding masa kelayakan terbaiknya 1m 30.228s.

Pelumba kelahiran Perancis itu menamatkan sesi pagi di tempat ke-18 dan sesi petang di tempat ke-16 terpantas.

"Ada kerja yang perlu disiapkan, terlalu awal untuk berkata jika ia adalah asas yang bagus," kata Quartararo kepada Sky Italia. "Buat masa ini, jentera baru ini lebih teruk daripada jentera 4 Silinder Sebaris.

"Saya nampak sedikit peningkatan di Barcelona, tapi di sini langsung tiada. Setakat ini, saya tidak melihat sebarang penambahbaikan di kawasan yang kami mahukan, tetapi masih ada ruang untuk meningkat."

Masalah utama masih sama—kelajuan maksimum perlahan, cengkaman masih tiada, dan elektronik perlu banyak kerja.”

Quartararo turut menyatakan aerodinamik jentera V4 Yamaha hampir tiada perubahan, seolah-olah hanya ‘salin dan tampal’ dari versi 4 Silinder Sebaris.

Malah masalah utama Yamaha seperti kelajuan maksimum yang rendah, cengkaman yang lemah, dan isu elektronik masih belum diselesaikan.

Dan dia turut merujuk kepada kesukaran yang dialami oleh Augusto Fernandez, pelumba wildcard yang menggunakan jentera V4 dalam perlumbaan sebenar di Misano minggu lalu.

"Ini adalah ujian sebenar bersama pelumba lain," kata Quartararo kepada MotoGP.com. "Jadi kami nampak di mana posisi kami ketika ini. Ada banyak kerja yang perlu dilakukan. Kami semua mempunyai komen yang sama.

"Kami melihat betapa bergelutnya Augusto ketika perlumbaan, dan sedikit sebanyak ia terjadi kepada kami. Kami perlu berusaha terhadap segala-galanya."