PRESTASI Pedro Acosta Di Qatar Dapat Pujian Vale

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/21/20241 min read

'ROOKIE' MotoGP 2024, Pedro Acosta mendedahkan dia menerima mesej pujian daripada legenda Valentino Rossi selepas perlumbaan Grand Prix (GP) Qatar.

Memetik laporan Mundo Deportivo, Acosta berkata: "Valentino memberikan mesej kepada saya selepas perlumbaan: 'Apa yang berlaku di sana!'. Perkara seperti ini memang menyenangkan."

Acosta yang berlumba bersama pasukan satelit KTM, GasGas Tech3 tampil dengan prestasi mengujakan pada penampilan sulungnya di MotoGP.

Sekalipun menamatkan perlumbaan utama di kedudukan ke-9, prestasinya ketika bersaing dengan Marc Marquez menjadi antara detik menarik perlumbaan di Losail.

Pelumba kelahiran Sepanyol, Acosta boleh dikatakan memiliki hubungan baik dengan Rossi.

Dia sebelum ini turut berlumba di kejuaraan '100km of Champions' di ladang legenda Itali itu menjelang kempen 2024 bersama pelumba akademi VR46, Pecco Bagnaia, Marco Bezzecchi, Luca Marini dan beberapa lagi pelumba lain.

Mengulas aksi di Portugal minggu ini, Acosta berkata ini adalah peluangnya untuk menyinar.

"Portimao adalah litar yang saya gemari dan perasaan kami cukup baik selepas Qatar," kata Acosta.

"Objektif utama adalah terus mengadaptasi dengan jentera dan juga kategori dan cuba untuk meneruskan dinamik di Qatar.

"Untuk itu, kami perlu mendapatkan sesi yang baik pada Jumaat, sesi yang baik pada Sabtu dan Perlumbaan Sprint dan berada di posisi sebaik mungkin di grid.

"Saya tidak sabar untuk menunggang jentera MotoGP di litar ini," kata Acosta yang juga juara dunia Moto2 musim lalu.