PRESTASI Qabil Dapat Pujian Zulfahmi
Pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin menyifatkan keputusan yang diperoleh Qabil Irfan Azlan pada Pusingan Tiga Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) dalam kelas ESBK Talent, minggu lalu sebagai membuktikan kebijaksanaan pelumba muda negara itu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/1/20251 min read


KEPUTUSAN dua tempat kedua yang diraih Qabil Irfan Azlan pada Pusingan Tiga Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) dalam kelas ESBK Talent, minggu lalu disifatkan Pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin sebagai membuktikan kebijaksaan pelumba muda negara itu.
Qabil, 13 tahun memulakan minggu perlumbaan di Sepanyol dengan baik apabila menguasai sesi Latihan Bebas pada Jumaat dan momentum itu diteruskan apabila dia berjaya meraih petak pertama dalam sesi kelayakan pada Sabtu.
Tetapi persaingan sengit membabitkan pelumba-pelumba muda berbakat dari seluruh dunia menyaksikan Qabil yang berjuang sehabis baik terpaksa berpuas hati sebagai naib juara dalam kedua-dua perlumbaan ditawarkan.
"Kita sedia tahu bahawa Litar Motorland Aragon mempunyai laluan lurus yang panjang, memberikan kelebihan kepada pelumba lain untuk menggunakan 'slipstream' ketika memintas," kata Zulfahmi.
"Tetapi saya melihat Qabil menunjukkan prestasi yang sangat baik dan bijak menggunakan strategi sepanjang perlumbaan. Walaupun dipintas pada saat-saat akhir, Qabil hanya tewas kurang daripada satu saat dalam kedua-dua perlumbaan."
Zulfahmi dalam pada itu berharap prestasi memberangsangkan itu dapat dikekalkan oleh Qabil sehingga penghujung musim sekali gus meneruskan momentum sebagai pendahulu keseluruhan kejuaraan.
Selepas tiga pusingan, Qabil ketika ini sedang memimpin kedudukan keseluruhan dalam carta kedudukan pelumba ESBK Talent 2025 apabila mengumpul keseluruhan 135 mata hasil tiga kemenangan dan tiga penamat tempat kedua.
Qabil ketika ini dibezakan dengan 43 mata dengan pencabar terdekatnya, Izan Rodriguez dari Sepanyol yang mengumpul 92 mata, manakala tempat ketiga diisi pelumba Switzerland, Alessio Arnold dengan dengan 82 mata.
