PROGRAM Panggil Semula QJMotor AX200S Penggantian Muffler Kini Bermula!

Proses ini mula digerakkan secara rasmi oleh MForce Bike selepas stok alat ganti berkenaan sudah diterima daripada pihak prinsipal jenama QJMotor

TERKINI

3/16/20261 min read

MFORCE Bike Holdings hari ini mengumumkan pelaksanaan program panggil semula bagi menggantikan komponen muffler untuk unit terpilih bagi model skuter bergaya 'Sporty' popularnya, QJMotor AX200S sudah bermula.

Proses ini mula digerakkan secara rasmi selepas stok alat ganti berkenaan sudah diterima daripada pihak prinsipal jenama QJMotor.

Inisiatif proaktif ini diambil susulan penemuan potensi keretakan pada bahagian muffler pada beberapa unit model berkenaan.

Apa yang menarik dan sebagai langkah penyelesaian jangka panjang, MForce akan menggantikannya dengan komponen muffler versi baharu yang telah dipertingkatkan kualiti dan ketahanannya.

Dan keseluruhan proses penggantian ini adalah percuma sepenuhnya yang merangkumi kos alat ganti muffler baharu berserta upah kerja pemasangan di pusat servis.

Bagi pelanggan yang baru merancang untuk memiliki model ini, jangan bimbang. Pihak MForce memberi jaminan bahawa semua unit pengeluaran baharu QJMOTOR AX200S bermula bulan ini sudah pun siap dilengkapi dengan komponen muffler versi baharu yang dipertingkatkan.

Pemilik model AX200S dinasihatkan untuk segera membuat semakan status motosikal anda menerusi portal rasmi: https://productrecall.mforceservice.my/.

Jika terbabit, sila hubungi atau kunjungi pengedar sah tempat anda membeli motosikal tersebut untuk mengatur janji temu penggantian segera.