PROJEK MotoGP KTM 'Dalam Bahaya'? Bajaj Dah Rancang Cantas Kos Hingga 50 Peratus!
Langkah itu diumumkan oleh Pengarah Urusan Bajaj Auto, Rajiv Bajaj, yang menyifatkan aspek seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemasaran (termasuk perlumbaan), operasi serta pentadbiran am KTM sebagai ‘low-hanging fruit’ yang mudah dicapai dalam strategi penjimatan syarikat
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/1/20251 min read


SYARIKAT gergasi automotif dari India, Bajaj Auto yang bakal menjadi pemilik majoriti KTM, merancang pengurangan kos operasi pengeluar Austria itu sehingga 50 peratus, dengan aktiviti perlumbaan termasuk MotoGP antara yang berisiko terjejas.
Langkah itu diumumkan oleh Pengarah Urusan Bajaj Auto, Rajiv Bajaj, yang menyifatkan aspek seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemasaran (termasuk perlumbaan), operasi serta pentadbiran am sebagai ‘low-hanging fruit’ yang mudah dicapai dalam strategi penjimatan syarikat.
Rajiv dalam satu temuramah berkata pihaknya melihat peluang besar untuk kurangkan kos dalam pelbagai sektor.
"Daripada 4,000 kakitangan KTM sekarang, hanya 1,000 adalah pekerja barisan hadapan, manakala 3,000 lagi adalah kakitangan pengurusan. Ini amat membingungkan kerana pekerja barisan hadapanlah yang menghasilkan motosikal,” katanya kepada CNBC-TV18.
Selain itu, Rajiv turut menyentuh isu birokrasi dan struktur pengurusan yang dianggap terlalu berat.
Kenyataan Rajiv itu sekali gus mencetus kebimbangan terhadap masa depan projek MotoGP KTM, yang kini beraksi dalam kelas utama sehingga penghujung musim 2026 menerusi pasukan kilang Red Bull KTM dan satelit Tech3.
Sekalipun belum menandatangani kontrak baharu untuk musim 2027, KTM sudah menunjukkan komitmen dengan memperkenalkan prototaip enjin 850 cc baharu.
KTM dalam pada itu tegas mahu kekal di MotoGP.
"Tiada siapa yang akan meluluskan pembangunan enjin baharu 850 cc hanya untuk tidak menggunakannya, kata Pengarah Sukan Permotoran KTM, Pit Beirer, kepada Speedweek.com.
“Kami berada dalam MotoGP untuk kekal di sana,” katanya, merujuk kepada komitmen jangka panjang KTM dalam kejuaraan motosikal dunia.
Sementara itu, Bajaj menyifatkan 'tiga bentuk ketamakan - operasi, strategik dan tadbir urus' sebagai punca utama kepada kemelut kewangan yang dihadapi KTM, sambil mengesahkan kelulusan akhir bagi pengambilalihan kini semakin hampir.
“Kami kini menunggu kelulusan utama daripada suruhanjaya pengambilalihan. Kami difahamkan ia mungkin akan diperoleh pada bulan November.
“Kami berharap ia akan positif, yang bermakna selepas hampir 18 tahun menjalin kerjasama sebagai rakan minoriti, kami bakal menjadi pemegang saham sebanyak 76 peratus dalam KTM AG, dan daripada sekadar pemerhati, kami akan mengambil alih tampuk kepimpinan,” kata Bajaj.

