PROJEK R&D RM 10 Juta 'Skuchai' Curi Tumpuan Di MotoXperience 2026
Seperti dijanjikan oleh MForce Bike, projek yang katanya menelan jutaan ringgit 'Skuchai' dibawa ke acara MotoXperience 2026 sempena Malaysia Bike Show (MBS) namun ia datang dengan nama Brixton C-ATX 200
TERKINI
6/8/20261 min read


ACARA automotif berprestij, MForce MotoXperience 2026 bersempena Malaysia Bike Show (MBS) 2026 menjadi medan kemunculan sulung sebuah jentera prototaip hibrid yang unik diberi nama Brixton C-ATX 200 atau gelaran popularnya 'Skuchai'.
Dan seperti jangkaan, ia pantas mencuri tumpuan peminat dua roda tempatan.
Dibawa khas oleh MForce Bike dari China, Skuchai' seperti diuar-uarkan sebelum ini tampil dengan konsep evolusi baharu yang luar biasa di pasaran, iaitu gabungan inovatif antara platform 'skuter' dan motosikal moped atau 'kapcai'.
Dari sudut kosmetik dan ergonomik, Brixton C-ATX 200 menawarkan rekaan luaran sebuah skuter moden berkonsepkan 'adventure' (ADV) yang maskulin.
Namun, keunikannya terletak pada ruang mekanikal di mana ia dikuasakan oleh enjin yang diletakkan pada posisi seperti motosikal kapcai konvensional.
Lebih menarik, ia dilengkapi sistem transmisi automatik sepenuhnya—seperti yang terdapat pada skuter tetapi kuasa dan tork enjin disalurkan ke tayar belakang menggunakan sistem pacuan rantai, dan bukannya tali sawat (V-belt).
Sistem pacuan rantai berserta transmisi automatik ini dilihat sebagai satu kelebihan besar kerana ia menjanjikan ketahanan yang lebih tinggi dan penyelenggaraan yang lebih mudah, terutamanya bagi penunggang yang gemar meredah pelbagai keadaan permukaan jalan.
Seperti diumumkan oleh MForce sebelum ini, pembikinan 'skuchai' bukanlah satu proses yang mudah dan murah. Ia adalah projek sulung yang dibangunkan sepenuhnya menerusi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), MForce China.
Bagi merealisasikan idea kejuruteraan radikal ini, kos keseluruhan projek pembangunan 'Skuchai' berkenaan dilaporkan menelan belanja mencecah sehingga RM10 juta.
Meskipun masih berstatus prototaip dan pihak pengurusan MForce Bike masih belum mendedahkan perincian mahupun tarikh pelancarannya, penampilannya 'Skuchai' di MBS 2026 berjaya membuatkan orang ramai bercakap mengenainya.
Dan pihak MForce sendiri pastinya ada sebab tersendiri untuk membawanya ke MotoXperience.


