PROSES Pemulihan Jorge Martin Positif, Tapi Sah Tak Beraksi di GP Jerman
Aprilia mengesahkan yang pelumbanya, Jorge Martin tidak akan dapat beraksi di GP Jerman tetapi proses pemulihan penyandang juara dunia MotoGP itu berjalan dengan positif mengikuti ujian di Barcelona
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/1/20251 min read


APRILIA mengumumkan yang proses pemulihan penyandang juara dunia MotoGP, Jorge Martin berjalan dengan positif mengukuti ujian di Barcelona, semalam.
Begitupun sedikit mengecewakan, tiada tempoh masa dapat diberikan bila pelumba kelahiran Sepanyol itu boleh kembali beraksi.
Susulan beberapa siri kemalangan, Martin berdepan pelbagai kecederaan termasuk patah dan kepulangan semula di Grand Prix Qatar menyaksikan kecederaannya meningkat.
Selepas disahkan dibenarkan untuk meningkatkan latihannya, baru-baru ini, ada yang berpendapat yang bekas pelumba Ducati itu berkemungkinan kembali ke litar seawal pada bulan ini.
Tetapi mengikuti pemeriksaan kesihatan terbaharu, pihak perubatan mengesahkan dia tidak akan dapat beraksi di GP Jerman yang dijadual pada minggu depan.
"Kemajuan klinikal adalah baik, dengan hampir julat pergerakan penuh pada bahagian scaphoid.
"Pada masa ini, penyatuan tulang masih belum mencapai 100 peratus, namun proses penyembuhan menunjukkan perkembangan yang positif walaupun pembaikan masih belum sempurna sepenuhnya," kata Dr Xavier Mir menerusi kenyataan dikeluarkan Aprilia.
Dr Angel Charte mengulas mengenai keretakan tulang rusuk pula berkata: "Terdapat peningkatan ketara di kawasan keretakan bagi kebanyakan kecederaan tulang rusuk kiri.
"Meskipun kemajuan pemulihan memberangsangkan, beberapa keretakan masih belum bersatu sepenuhnya. Perkembangan keseluruhan adalah sangat positif, dan berdasarkan penilaian ini, dua minggu tambahan diperlukan untuk penyembuhan sepenuhnya."
"Satu pemeriksaan dijadualkan pada awal minggu hadapan untuk penilaian lanjut."
Penyertaan dalam GP Jerman disahkan tidak akan berlaku.
Tetapi berdasarkan peraturan baharu, Martin boleh menjalani satu ujian persendirian sebelum dia kembali mengharungi perlumbaan sebenar dengan Aprilia sebelum ini mencadangkan ia akan berjalan di Misano.
