'PROSES Pemulihan Perlahan, Tapi Baik'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/5/20251 min read

JORGE Martin mengakui proses permulihan kecederaannya berjalan dengan perlahan tetapi ia sudah dijangka dan mengikut perancangan pasukan perubatan.

Penyandang juara dunia MotoGP itu berdepan kecederaan rusuk dan paru-paru susulan kemalangan di Grand Prix Qatar 2025. Ia menjadi satu-satunya penampilan pelumba Sepanyol itu dalam perlumbaan MotoGP bersama Aprilia setakat ini.

Bekas pelumba Pramac Racing itu sebelum ini turut berdepan kecederaan ketika sesi ujian pra-musim di Sepang diikuti kecederaan ketika latihan di Sepanyol seminggu sebelum pusingan pertama MotoGP musim ini bermula.

Aprilia mengesahkan Martin akan menjalani ujian oleh pasukan perubatan dalam tempoh sebulan lagi selepas menjalani ujian di Barcelona pada minggu lalu sebelum tarikh kepulangan semulanya dapat ditentukan.

"Proses pemulihan berjalan dengan baik," kata Martin. "Sudah tentu, ia perlahan kerana ia benar-benar kecederaan yang besar. Saya mahu, pada pertengahan Jun ini, untuk berlatih menggunakan motosikal," kata Martin memetik laporan Crash.net.

Martin ketika ditemui ketika acara Aprilia All-Star di Misano, Itali mengakui dia tidak berhasrat untuk menunggang motosikal tetapi mengubah fikirannya apabila melihat jentera yang boleh ditunggangnya.

Ia turut mencetus kontroversi apabila Martin tidak mengenakan sut lumba Aprilia tetapi jenama berbeza sebelum Aprilia memberi jawapan.

"Saya gembira berada di sini (Aprilia All-Star)," kata Martin. "Saya datang ke sini tanpa sebarang niat untuk menunggang tetapi apabila saya melihat motosikal... Ia hari yang baik. Saya fikir untuk mencubanya.

"Saya pergi ke kedai untuk mendapatkan sut lumba dan helmet. Saya keluar, menikmatinya sebaik yang mungkin. Ia acara yang hebat."