PROSES Pemulihan Qabil Irfan Positif, Terpaksa Lupakan Aragon
Selepas menjalani pembedahan di Barcelona dan sudah pun berada di Malaysia, pengurusan pasukannya ZK Racing memaklumkan keadaan Qabil Irfan kini semakin beransur pulih, meskipun terpaksa berdepan kesakitan yang agak teruk pada peringkat awal
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/25/20261 min read


PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan menunjukkan perkembangan yang positif selepas 3 minggu berehat akibat kecederaan patah kaki yang dialaminya pada Pusingan 5 Moto4 European Cup (Moto4 EC) 2026 di Valencia, Sepanyol.
Selepas menjalani pembedahan di Barcelona dan sudah pun berada di Malaysia, pengurusan pasukannya ZK Racing memaklumkan keadaan Qabil kini semakin beransur pulih, meskipun terpaksa berdepan kesakitan yang agak teruk pada peringkat awal.
"Sewaktu Qabil baru sahaja tiba dan dibawa pulang ke Malaysia, keadaan kakinya memang membengkak dengan teruk," kata Pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin.
"Menyedari situasi itu, SIC Racing turut melantik pakar fisioterapi khusus untuk memberikan rawatan rapi buat Qabil. Alhamdulillah, perkembangannya kini amat positif.
"Sesi fisioterapi dilakukan pada setiap hari, malah kadangkala kami jalankan dua kali sehari bagi memastikan proses pemulihannya berjalan lancar dan dia dapat kembali sihat," jelas wakil pengurusan pasukan itu.
Berikutan keadaan pelumba itu yang masih dalam fasa pemulihan, pasukan membuat keputusan sukar namun tepat dengan menarik diri daripada menyertai Pusingan 6 Kejuaraan Moto4 Eropah yang dijadualkan berlangsung di Litar Aragon, minggu ini.
Zulfahmi berkata, tiada kompromi terhadap soal kesihatan pelumba dan Qabil tidak akan didesak untuk kembali ke litar dalam masa terdekat.
"Keutamaan kami untuk Qabil ketika ini adalah memastikan dia pulih sepenuhnya. Kami mahu pastikan dia betul-betul sedia dan cergas 100 peratus sebelum kembali menunggang motosikal untuk berlumba.
"Memang agak ralat kerana kami terlepas aksi pusingan keenam di Aragon minggu ini, tetapi tidak mengapa. Apa pun yang terjadi, kesihatan Qabil adalah perkara yang paling mustahak," katanya.

