PROTEGE Marc Marquez, Max Quiles Sah 'Naik Pangkat' Ke Moto2 Musim 2027

Selepas 11 pusingan musim ini, Max Quiles mendominasi carta kejuaraan kelas Moto3 dengan merekodkan enam kemenangan, sekali gus selesa mendahului carta kejuaraan dengan kelebihan 104 mata ketika kempen mengharungi rehat musim panas

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/16/20261 min read

PENDAHULU kelas Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia 2026, Maximo Quiles sah dinaikkan pangkat untuk beraksi di pentas Moto2 pada musim depan.

Menariknya, pelumba berusia 18 tahun itu dan anak didik juara dunia 9 kali, Marc Marquez akan kekal bersama pasukan CFMOTO Aspar untuk beraksi di kelas pertengahan itu.

Selepas 11 pusingan musim ini, Quiles mendominasi carta kejuaraan kelas Moto3 dengan merekodkan enam kemenangan, sekali gus selesa mendahului carta kejuaraan dengan kelebihan 104 mata ketika kempen mengharungi rehat musim panas.

Begitupun, penghijrahan Quiles ke Moto2 sudah mula dihidu ramai susulan pengesahan pelumba Moto2 CFMOto Aspar ketika ini, Dani Holgado juga sah bakal melangkah ke kelas perdana MotoGP bersama pasukan Gresini Ducati.

Pengurus pasukan, Jorge Martinez atau lebih dikenali sebagai 'Aspar' berkata, pihaknya sangat teruja untuk bersaing bersama Quiles di Moto2, namun menegaskan fokus utama ketika ini adalah untuk menoktahkan kempen Moto3 musim ini dengan gelaran juara dunia.

"Kami yakin dia sudah bersedia untuk segala cabaran yang menanti. Peralihannya ke Moto2 juga membuktikan kami terus memperkukuh model pembangunan pelumba dari peringkat akar umbi hingga ke pentas dunia, sama seperti yang kami lakukan terhadap Albert Arenas, Izan Guevara, dan David Alonso," katanya.

Untuk rekod, Quiles yang mendapat bimbingan serta sokongan penuh daripada adik-beradik Marquez (Marc dan Alex), memiliki statistik yang cukup menakjubkan apabila meraih sembilan kemenangan dan 19 podium daripada hanya 29 permulaan sepanjang kempen Moto3.

Quiles dalam pada itu menyifatkan dirinya kini jauh lebih matang.

"Saya kini pelumba yang lebih lengkap dan tenang. Jika tahun lalu sebagai 'rookie' saya sering gopoh sehingga melakukan kesilapan, kini saya membuat keputusan yang lebih bijak di litar," kata Quiles.

Penyertaan Quiles ini bermakna pasukan Aspar bakal menampilkan barisan pelumba serba baharu dalam saingan Moto2 musim depan, memandangkan seorang lagi tonggak mereka, David Alonso, turut dijangka akan melangkah ke kancah MotoGP bersama pasukan Honda.