PROTOTAIP Honda MotoGP RC213V (2024) Ada 'Masalah Sama', 'Masih Jauh', Marc Marquez Putus Masa Depan Di Asia

Blog post description.

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/12/20231 min read

MARC Marquez tampak tak beitu teruja dengan 'input' yang diperoleh daripada sesi ujian rasmi MotoGP di Misano, semalam apabila mendedahkan jentera prototaip Honda MotoGP RC213V (2024) masih dipalit isu sama.

Sekalipun ia bukan kali pertama buat pelumba Sepanyol itu mengkritik jenteranya, begitupun situasi berkenaan boleh dianggap cukup membimbangkan terutama buat Honda.

Ketika ujian di Misano, Marquez dan rakan sepasukannya, Joan Mir menunggang jentera yang sama digunakan pelumba ujian, Stefan Bradl ketika mengharungi 'wildcard' di GP San Marino.

Turut dipalit dengan isu keluar daripada kem Honda, Marquez sebelum ini berulang kali berkata dia mahu melihat 'reaksi' daripada Honda untuk keluar daripada masalah tetapi melakukan catatan tercorot ketika ujian jelas bukan sesuatu yang diharapkan juara dunia lapan kali itu.

"Gaya tunggangan agak berbeza. Tetapi pada akhirnya, masalah adalah lebih atau lebih kurang sama, jadi kami perlu lebih bekerja keras," kata Marquez yang turut mengesahkan antara masalah adalah kurang cengkaman di roda belakang, memetik laporan Crash.net.

Agak kelakar, Marquez turut menjelaskan yang jentera baharu Honda ini bukan model 2024, namun lebih kepada '2023.5' dengan perubahan dilakukan di bahagian casis dan geometri namun menggunakan trenkuasa yang sama.

"Posisi tunggangan agak berbeza. Pada awalnya, ia agak aneh, tetapi selepas beberapa pusingan, seperti motosikal baharu, ia lebih natural. Tetapi pada akhirnya, cara tunggangan, cara untuk melihat catatan masa, ia amat serupa dengan jentera sedia ada.

"Sudah tentu kami sentiasa mengharapkan sesuatu yang lebih. Tetapi ia masih pandangan awal dan ada begitu ramai jurutera baharu di garaj. Dan sekarang dengan informasi itu, mereka perlu terus bekerja dan ke depan."

Mengulas lanjut, Marquez berkata staf Honda masih perlu bekerja keras kerana mereka masih jauh ketinggalan.

"Jika ini adalah asasnya, atau jenteranya, kami jauh. Masih banyak kerja dan perubahan perlu dibuat. Tidak banyak masa sebelum ujian di Valencia kerana ia berbaki dua bulan saja, tetapi ayuh lihat jika mereka berjaya melangkah ke depan."

Dan ketika ditanya sekali lagi bila dia akan mengumumkan rancangannya bagi musim 2024, Marquez membalas sekitar India-Jepun, kenyataan yang agak tak selari dengan apa yang dikatakan sebelum ini.