PROTOTAIP 'Kapcai Super' Kerjasama Modenas-Kawasaki Sedang Jalani Ujian Di Eropah?

TERKINI

12/4/20231 min read

BUKAN rahsia yang syarikat pengeluar motosikal tempatan, Modenas dengan kerjasama Kawasaki sedang membangunkan sebuah motosikal kapcai terbaharu berstatus 'Super moped' ketika ini.

Dihasilkan khas untuk pasaran Malaysia yang terkenal dengan populariti kapcai bersesaran 150 cc ke atas cukup tinggi, pengesahan mengenai penghasilan motosikal berkenaan diumumkan pada pertengahan tahun lalu.

Dan selepas lebih setahun, ada perkembangan terbaharu dan menarik mengenai motosikal berkenaan diperoleh, baru-baru ini.

Memetik laporan rakan media PanduLaju, prototaip motosikal berkenaan sudah pun berada di Eropah untuk menjalani proses ujian.

Tidak didedahkan lokasi khusus atau negara ujian itu dijalankan, tetapi difahamkan Modenas sudah pun menghantar sepasukan juruteranya sejak tiga bulan lalu.

Dan menurut laporan itu lagi, ujian berkenaan membabitkan beberapa perkara terutama trenkuasa.

Berdasarkan laporan sebelum ini, pihak Modenas mengesahkan motosikal 'Super moped' berkenaan akan dipadankan dengan enjin bersesaran 150 cc terbaharu termasuk memenuhi piawaian emisi terkini dan sesuai untuk kegunaan harian.

Begitupun menurut PanduLaju lagi, ia berkemungkinan datang dengan varian enjin berbeza dengan salah satunya lebih besar berbanding 150 cc.

Daripada maklumat terbaharu ini juga, ia turut memberi petanda yang reka bentuk motosikal berkenaan yang dikatakan mengikut 'selera' tempatan berkemungkinan hampir dimuktamadkan.

Dan ia pasti menarik kerana dari sudut reka bentuk, motosikal berkenaan turut mendapat 'sentuhan' Ketua Pereka Produk Kawasaki, Keishi Fukumoto yang sebelum ini melakukan lawatan ke Malaysia untuk mendapatkan idea.