PUJIAN Menggunung Davide Tardozzi kepada Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/25/20241 min read

MARC Marquez dan Pengurus pasukan Ducati Lenovo, Davide Tardozzi sebelum ini diketahui mempunyai hubungan yang agak 'keruh' terutama ketika juara dunia lapan kali itu bersama Repsol Honda.

Bersaing sengit dalam perebutan gelaran dunia MotoGP pada musim 2017 hingga 2019 yang menyaksikan Marquez bergelar juara dunia dan Andrea Doviszioso sebagai naib juara, Tardozzi antara paling lantang mengkritik pelumba Sepanyol itu.

Begitupun selepas Marquez meninggalkan Honda untuk menyertai Ducati musim ini, pergeseran itu tampak seperti turut lenyap terutama selepas Ducati menyenaraikan juara dunia MotoGP enam kali itu bersama Ducati Lenovo musim 2025.

Malah Tardozzi turut menyifatkan gandingan Marquez dan juara dunia dua kali MotoGP, Francesco Bagnaia sebagai terbaik dalam sejarah dan hanya boleh ditandingi gandingan juara dunia sembilan kali dan Jorge Lorenzo.

"Pasukan yang seperti yang kami miliki, dengan Bagnaia dan Marquez, saya fikir ia hanya boleh disaingi oleh gandingan Valentino Rossi dan Jorge Lorenzo sebelum ini.

"Saya tidak fikir ada pasukan lain pada tahap ini dalam sejarah," kata Tardozzi kepada majalah Sepanyol, Ravenna.

Sekalipun 'pasukan idaman' yang dibentuk Repsol Honda menerusi Lorenzo dan Marquez mempunyai lebih banyak gelaran dunia, Tardozzi yakin pasukannya mampu mencapai keputusan lebih hebat berbanding yang dicapai Honda.

Malah pujian menggunung turut diberikan kepada Marquez oleh Tardozzi.

"Saya fikir Marquez adalah pelumba yang hebat kerana dia juga individu yang menakjubkan. Pada pandangan saya, dia mempunyai kebijaksanaan untuk mendengar, tahu apa yang kamu akan cakap dan bersedia untuk jawapan berikutnya.

"Dia mempunyai visi yang meluas yang memberikannya kemampuan untuk bersedia atas segala-galanya.

"Untuk menjadi pelumba yang hebat, kamu perlu menjadi orang yang hebat. Jika tidak ia adalah kelemahan.

"Dia bukan (Albert) Einstein, dia bukan presiden sesebuah negara, tetapi dia seorang yang satu langkah ke hadapan."