PUSAT Sehenti Terbesar MForce KL Dibuka 23 Oktober Ini

Fasiliti terbaharu MForce KL berkeluasan 77,000 kaki persegi yang dilancarkan pada awal tahun ini direka khusus bagi menyokong kapasiti penyelenggaraan berskala tinggi serta meningkatkan kecekapan operasi syarikat itu

TERKINI

10/9/20261 min read

MFORCE Bike mengumumkan pusat sehenti lengkapnya yang berstatus 'mega' dan turut menempatkan pejabat urusan, servis, jualan, ruang pameran, kafeteria, dewan acara iaitu MForce KL akan memulakan operasi pada 23 Oktober ini.

Fasiliti terbaharu berkeluasan 77,000 kaki persegi yang dilancarkan pada awal tahun ini itu direka khusus bagi menyokong kapasiti penyelenggaraan berskala tinggi serta meningkatkan kecekapan operasi MForce Bike.

Langkah strategik ini merupakan komitmen berterusan MForce dalam memperkasakan mutu perkhidmatan selepas jualan, seiring dengan peningkatan mendadak jumlah pemilikan motosikal di bawah naungan syarikat itu di Malaysia.

Susulan itu, pusat servis sedia ada MForce yang juga terletak di Segambut (MForce Segambut) akan ditutup sementara bermula 12 hingga 22 Oktober 2026 bagi memberi laluan kepada kelancaran proses pemindahan operasi.

Seperti dilaporkan ketika pelancarannya, pembukaan MForce KL dijangka akan mengurangkan masa menunggu dan meningkatkan kualiti selenggara kerana ia mampu menempatkan lebih 20 juruteknik bertauliah.

Turut mencuri tumpuan adalah ia turut dilengkapi dengan mesin ujian pemeriksaan (Motorcycle Inspection Test Bench) bernilai RM 1.5 juta.

Sebagai pusat sehenti komprehensif, MForce KL turut menempatkan Mforce Gallery yang mempamerkan pelbagai motosikal di bawah jenama kendalian Mforce, ruang menunggu pelanggan yang selesa, pusat alat ganti, gudang penyimpanan dan surau.

Dalam pada itu, Mforce memberi jaminan bekalan alat ganti tidak akan terjejas sepanjang tempoh pemindahan premis sedia ada. Pelanggan juga boleh membuat pembelian alat ganti secara terus menerusi talian 012-485 0133 yang menawarkan khidmat penghantaran percuma khusus di Kuala Lumpur dan Selangor.

Pusat Servis dan Pejabat Urusan Mforce Kuala Lumpur yang baharu ini beralamat di 46 & 48, Jalan Segambut Tengah, Taman Segambut, 51200 Kuala Lumpur.