PUSAT Teknikal Kawasaki (KTC) dan HQ EMOS Baharu Dirasmikan

Bertempat di Novus Business Park, Glenmarie, Shah Alam, Kawasaki Malaysia berkata perasmian Teknikal Kawasaki (KTC) dan HQ EMOS menjadi satu lagi pencapaian penting buat syarikat itu

PELANCARAN

10/18/20251 min read

SELAIN pelancaran model 'Naked bike' Kawasaki Z900 (2025), Kawasaki Malaysia turut merasmikan Pusat Teknikal Kawasaki (KTC) hari ini selain ibu pejabat baharu pusat pengedarannya, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS).

Bertempat di Novus Business Park, Glenmarie, Shah Alam, Kawasaki Malaysia berkata perasmian kedua-duanya menjadi satu lagi pencapaian penting buat syarikat itu dengan majlis disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan.

Roslan berkata, pelancaran fasiliti bersepadu itu sebagai langkah strategik dalam memperkukuh keupayaan selepas jualan serta mempertingkat pengalaman pelanggan bagi penunggang Kawasaki di Malaysia.

Katanya, penyatuan KTC dan EMOS di bawah satu bumbung akan mempercepatkan tindak balas operasi, mengukuhkan kerjasama dalaman dan mewujudkan pengalaman lebih lancar buat pelanggan serta rakan niaga.

“Bagi setiap penunggang Kawasaki, KTC adalah janji kami terhadap keyakinan bahawa di sebalik prestasi, mereka boleh bergantung kepada kebolehpercayaan, keselamatan dan sokongan masa depan,” katanya.

Turut hadir, General Manager QA Division Kawasaki Motors Corporation Jepun, Go Nomura, yang menegaskan bahawa KTC akan menjadi penghubung langsung Malaysia kepada rangkaian servis global Kawasaki.

“Pusat Teknikal ini memastikan penunggang di Malaysia menikmati standard bertaraf dunia yang sama seperti di negara lain,” katanya.

Sebagai info, KTC ditubuhkan sebagai hab pusat kecemerlangan teknikal dan sokongan selepas jualan Kawasaki di Malaysia, berasaskan empat teras utama:

  • Pusat Latihan Teknikal – Menyediakan latihan teknikal dan produk secara tersusun kepada juruteknik pengedar.

  • Hab Operasi Servis – Menjadi rujukan bagi panduan teknikal, penyeragaman proses dan penambahbaikan produk.

  • Pengurusan Alat Ganti & Peralatan Khas – Memastikan kesiapsiagaan alat ganti, peralatan khas dan penyelarasan logistik.

  • Sokongan Kualiti & Waranti – Menjadi titik rujukan bagi diagnosis, pemeriksaan dan penilaian waranti.

Selain fungsi operasi, KTC turut berperanan sebagai platform pembangunan bakat, selari dengan aspirasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dalam industri teknikal bernilai tinggi.

Ketua Pegawai Pemasaran MODENAS, Jin Inoue, menekankan KTC bukan sekadar tentang mesin, tetapi tentang manusia.

“Dengan melengkapkan juruteknik dan pengedar kami dengan ilmu bertaraf dunia, kami memberi keyakinan kepada setiap penunggang Kawasaki bahawa perjalanan mereka sentiasa disokong,” katanya.

Dalam majlis sama, MODENAS turut mengumumkan bahawa 12 model Kawasaki sudha menerima penarafan lima bintang di bawah Program Penilaian Kenderaan Malaysia (MyMAP) 2025, sekali gus memperkukuh kedudukan jenama itu dalam usaha meningkatkan standard keselamatan industri dan melindungi penunggang.