PUSINGAN 3 'Finale' MSBK 2023 Di SIC Hujung Minggu Ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/14/20231 min read

KEPADA yang masih belum 'puas' menonton aktiviti perlumbaan dua roda kompetitif di atas litar, Pusingan 3 Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2023 hujung minggu ini berkemungkinan mampu 'memuaskan' hati anda.

Seperti dua pusingan sebelum ini, Pusingan 3 yang juga aksi penutup MSBK 2023 akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Secara keseluruhan, tiga kategori perlumbaan dipertandingkan dengan perinciannya seperti berikut:

  • MSBK250 & Honda CBR250RR Challenge (Berlangsung serentak)

  • MSBK600

  • MSBK1000

Turut dianjurkan adalah perlumbaan 'One Make' Berjaya Sompo Yamaha Y16ZR Race Masterclass.

Berdasarkan jadual MSBK, aksi akan bermula esok menerusi Sesi Latihan 1 dan 2.

Ia diikuti sesi kelayakan pada pagi Sabtu untuk kesemua kelas perlumbaan sebelum Perlumbaan 1 dijadual bermula pada 2.05 petang menerusi perlumbaan MSBK250 & Honda CBR250RR Challenge.

Perlumbaan 2 bagi kesemua kategori dijadual pada pagi Ahad dan untuk kelas MSBK600 dan MSBK1000, turut berlangsung Perlumbaan 3 yang dijadual pada sebelah petang.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, perlumbaan MSBK turut disertai barisan pelumba terbaik negara antaranya Kasma Daniel Kasmayudin, Azlan Shah Kamaruzaman, Zaqhwan Zaidi, Helmi Azman dalam kelas elit MSBK1000 dan Khairul Idham Pawi, Muhd Helmi Azman, Muhd Ibrahim Norrodin (MSBK600).