PUSINGAN 3 JrGP 2024 Catalunya, Hakim Danish Konsisten Kutip Mata, Danial Syahmi Bergelut

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/19/20241 min read

PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli konsisten berada dalam posisi mengutip mata pada aksi Pusingan 3 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2024 yang berlangsung di Catalunya, Sepanyol, hari ini.

Berlangsung cukup sengit dan mendebarkan, pelumba pasukan SIC Racing-MSi yang menggunakan jentera KTM itu melepasi garisan penamat Perlumbaan 1, di kedudukan ke-11.

Dan keputusan itu diperbaiki pada Perlumbaan 2 apabila pelumba kelahiran Terengganu itu menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-7.

Apa yang menarik, seperti yang disasarkan sebelum perlumbaan, Hakim Danish berjaya mengekalkan dirinya dalam kelompok depan persaingan yang membabitkan hampir 15 pelumba itu.

Begitupun, keputusan yang lebih baik diharapkan seorang lagi pelumba negara, Danial Syahmi Shahril di Catalunya tidak kesampaian apabila terpaksa menamatkan aksi di luar pungutan mata di kedudukan ke-18.

Sekalipun tidak berjaya menempatkan diri di kelompok depan perlumbaan, Danial Syahmi yang beraksi bersama pasukan Junior Talent Team menggunakan jentera Honda memperbaik keputusan pada Perlumbaan 2 dengan menamatkan aksi di kedudukan ke-13.

Sebagai info, pelumba Sepanyol, Jesus Rios menjuarai Perlumbaan 1 dengan Marcos Uriate kedua manakala Adrian Cruces ketiga.

Perlumbaan 2 pula menjadi milik Alvaro Carpe dengan Alessandaro Morisi meraih tempat kedua dan Marcos Uriate ketiga.

Selepas tiga pusingan berlangsung, Hakim Danish yang beraksi buat pertama kali di JrGP berada di kedudukan ke-12 carta pelumba dengan mengumpul 23 mata dengan Danial Syahmi di tangga ke-13 dengan 20 mata.

Selepas beberapa bulan di Eropah termasuk menyambut Aidilfitri di perantauan, Hakim Danish dan Danial Syahmi dijadual pulang ke Malaysia selepas aksi di Catalunya.