QABIL Irfan, Airel Marzuki 'Mengganas' Di Langkawi
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/14/20241 min read
QABIL Irfan Azlan dan Airel Marzuki menampilkan aksi 'garang' selepas kedua-duanya melakar kemenangan berganda pada Pusingan 3 Kejuaraan Siri FIM MiniGP Malaysia 2024 yang berlangsung di Pulau Langkawi, hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Litar Lumba MORAC Adventure Park itu, Qabil yang beraksi dalam kelas perdana 190 cc meneruskan deretan kemenangannya kepada enam berturut-turut dengan kejayaan di Langkawi.
Farish Hafiy dalam pada itu terpaksa berpuas hati untuk menamatkan kedua-dua perlumbaan sebagai naib juara dengan Adam Danial juga muncul pemenang tempat ketiga dalam kedua-dua perlumbaan.
Kejayaan di Langkawi menyaksikan Qabil yang turut beraksi di Eropah dalam kelas Moto4 musim ini mengutip 150 mata maksimum.
Sementara itu, Airel dari Terengganu kembali di landasan kemenangan selepas sekadar menamatkan aksi kelas 160 cc pada Pusingan 2 di SIC sebelum ini selaku naib juara dan tempat ketiga.
Lebih menarik, Airel turut berjaya membalas kekalahannya kepada pelumba Vietnam, Nyugen Viet Tuan yang terpaksa berpuas hati menamatkan kedua-dua perlumbaan di Langkawi sebagai naib juara.
Sementara itu, melengkapkan kedudukan podium pada Perlumbaan 1 adalah Fahim Naufal dan Qayyim Razin meraih tempat ketiga pada Perlumbaan 2.
Selain dua kelas utama, kemenangan berganda turut direkodkan pada kelas SIC Ohvale Junior menerusi kemenangan Al-Adam Mikail dari Pahang.
Melengkapkan kedudukan sebagai naib juara adalah Nufayl Darwisy juga pada kedua-dua perlumbaan dan melengkapkan podium adalah Harith Fezzrul Iman (Perlumbaan 1) dan Rishi Keishan Kishi pada Perlumbaan 2.
Selesai aksi di Langkawi, kempen Kejuaraan Siri FIM MiniGP Malaysia 2024 yang turut memberi tiket untuk beraksi di Eropah berbaki dua lagi pusingan.