QABIL Irfan Alih Fokus Ke Valencia
Kejayaan Qabil yang juga pengesahan ke Sepanyol itu hadir selepas pelumba kelahiran Terengganu itu mengekalkan rekod kemenangan sempurna dalam kesemua lapan perlumbaan 190cc FIM MiniGP Malaysia musim ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/12/20251 min read


SELEPAS menambah satu lagi trofi kejuaraan pada musim ini, pelumba cilik negara, Qabil Irfan Azlan mengalih tumpuannya untuk merangkul gelaran lebih besar - kejayaan di FIM MiniGP World Final di Valencia, Sepanyol, hujung tahun ini.
Pelumba berusia 13 tahun itu tampil cemerlang selepas mengesahkan kejuaraan keseluruhan kategori 190cc FIM MiniGP Malaysia 2025, minggu lalu dan lebih menarik, kejayaan itu diperoleh lebih awal tanpa menunggu pusingan terakhir.
Kejayaan yang juga pengesahan ke Sepanyol itu hadir selepas pelumba kelahiran Terengganu itu mengekalkan rekod kemenangan sempurna dalam kesemua lapan perlumbaan 190cc FIM MiniGP Malaysia musim ini.
Qabil berkata, kejayaan adalah hasil kerja keras seluruh pasukan dan beliau kini mengalihkan fokus sepenuhnya kepada cabaran yang lebih besar di peringkat dunia.
“Musim ini amat istimewa kerana saya berjaya mengekalkan prestasi konsisten sejak perlumbaan pertama. Gelaran ini adalah hasil usaha berterusan pasukan, keluarga, penaja, dan semua yang sentiasa menyokong saya.
"Apapun, saya tidak boleh leka. Saya akan terus bekerja keras terutama menjelang persiapan ke Valencia memandangkan cabaran di sana pasti lebih sengit. Jadi, saya perlu berusaha lebih keras,” katanya.
Dengan satu tiket ke Valencia sudah menjadi milik Qabil, debaran kini beralih kepada perebutan dua lagi slot berharga yang membabitkan tiga pelumba iaitu Qayim Razin (124 mata), Adam Aiman (123 mata), dan Malek Ridha (112 mata).
Pusingan terakhir di Litar Kart RUD Sepang pada 11 dan 12 Oktober depan.
