QABIL Irfan Bawa Pulang 13 Mata Dari Estoril
Selepas menamatkan Perlumbaan 1 dengan tangan kosong susulan kemalangan, Qabil Irfan yang beraksi bersama pasukan SIC GYRD Racing mempamerkan kebangkitan dengan menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-4
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/14/20261 min read


PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan mengharungi kempen yang bercampur baur pada pusingan kedua kejuaraan Moto4 European Cup (Moto4 EC) 2026 di Estoril, Portugal, hari ini.
Selepas menamatkan Perlumbaan 1 dengan tangan kosong susulan kemalangan, pelumba pasukan SIC GYRD Racing itu mempamerkan kebangkitan dengan menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-4 sekali gus membawa pulang 13 mata kejuaraan berharga.
Lebih menarik, pelumba kelahiran Terengganu itu hampir melakar kejayaan menaiki pentas podium, namun dinafikan kedudukan ke-3 dengan jurang masa sangat tipis, hanya 0.192 saat (s) di belakang pelumba Honda Team Echovit Pasini Racing, Lorenzo Pritelli.
Keputusan pada di Perlumbaan 2 itu begitupun sedikit sebanyak mengubati kekecewaan Qabil pada Perlumbaan 1 dengan insiden yang berlaku ketika dia sedang berada dalam posisi terbaik dalam kelompok pendahulu.
Pelumba Sepanyol yang mewakili CFMOTO Aspar Junior Team, Alvaro Lucas, tampil dominan dengan mengungguli dan menjuarai kedua-dua perlumbaan pada hujung minggu ini.
Apa yang diperoleh di litar Estoril menyaksikan Qabil yang meraih tempat ke-4 pada aksi pembukaan di Catalunya sebelum ini terpaksa akur kedudukannya dalam carta kejuaraan turun ke tangga ke-6 keseluruhan dengan mengumpul 26 mata.
Pusingan 3 Moto4 EC selepas ini dijadualkan berlangsung di Litar Jerez-Angel Nieto, Sepanyol dan sekali lagi bakal menawarkan peluang kutipan 50 mata maksimum apabila turut menampilkan dua perlumbaan.

