QABIL Irfan Buru Podium Di Estoril

Sedar cabaran yang bakal diharungi, Qabil Irfan yang beraksi bersama pasukan SIC-GRYD Racing berkata dia akan mengubah taktikal perlumbaan dan tidak lagi hanya bertahan jika mahu mencabar kelompok pendahulu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/9/20261 min read

SELEPAS berjaya mencuri tumpuan pada penampilan sulungnya di Catalunya, pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan mengakui tugas berat menantinya menjelang Pusingan 2 Kejuaraan Moto4 Eropah 2026 di Litar Estoril, Portugal hujung minggu ini.

Begitupun, situasi itu tidak mematahkan semangat pelumba berusia 14 tahun itu dalam misi utama memburu penamat podium pertamanya musim ini.

Tidak seperti kebanyakan pelumba lain yang berpangkalan di Eropah yang sudah mengumpul data menerusi sesi ujian awal di Estoril, pasukan disertai Qabil iaitu SIC-GRYD Racing tidak menjalani sebarang ujian persendirian di litar berkenaan.

Dan situasi itu bertambah mencabar apabila tiada lagi sesi latihan tidak rasmi pada hari Khamis seperti kebiasaan.

Justeru, setiap sesi rasmi yang bermula Jumaat ini menjadi sangat kritikal buat pasukan untuk mencari pelarasan jentera yang optimum buat Qabil.

Selain itu, format saingan hujung minggu ini turut menuntut ketahanan fizikal dan mental yang tinggi apabila dua aksi - Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2 - membabitkan 15 pusingan masing-masing akan dilangsungkan secara padat pada hari Ahad, menjadikan setiap mata kejuaraan yang ditawarkan cukup berharga.

"Pusingan pertama di Barcelona memberi banyak pengalaman baharu kepada saya. Saya dapat melihat sendiri bagaimana pelumba-pelumba Eropah berlumba dan bagaimana mereka menguruskan perlumbaan dalam kelompok yang sangat rapat.

"Saya belajar banyak perkara sepanjang hujung minggu tersebut. Setiap sesi memberikan pengajaran yang berbeza dan saya rasa pengalaman itu akan membantu saya untuk tampil lebih baik di Portugal nanti," katanya.

Sedar cabaran yang bakal diharungi, Qabil berkata dia akan mengubah taktikal perlumbaan dan tidak lagi hanya bertahan jika mahu mencabar kelompok pendahulu.

"Salah satu perbezaan terbesar ialah pelumba-pelumba di sini sangat laju dan agresif. Mereka sentiasa memberikan tekanan dan tidak mudah melakukan kesilapan.

"Saya mahu menjadi lebih agresif di Portugal berbanding sebelum ini. Sasaran saya adalah untuk berada dalam kelompok hadapan dan cuba memburu kedudukan podium. Saya akan manfaatkan segala pengalaman di Barcelona dan memberikan yang terbaik," katanya.