QABIL Irfan Buru Podium Di Magny-Cours

Sebagai persiapan menghadapi Perancis, Qabil Irfan yang beraksi bersama pasukan SIC-GRYD Racing kekal berada di Eropah bagi menjalani latihan insentif selesai Pusingan 3 di Litar Jerez, Sepanyol, bulan lalu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/21/20261 min read

PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan berazam untuk meneruskan rentak cemerlangnya dengan memburu podium pada Pusingan 4 Kejuaraan Moto4 European Cup (Moto4 EC) 2026 di Litar Magny-Cours, Perancis, hujung minggu ini.

Beraksi bersama pasukan SIC-GRYD Racing, Qabil akan tiba di Perancis dengan motivasi dan keyakinan tinggi selepas berjaya meraih podium sulung kariernya pada Pusingan 3 di Litar Jerez, Sepanyol, bulan lalu.

Kejayaan itu bukan sahaja menyuntik semangat baharu, malah menjadi isyarat jelas pelumba berbakat besar berusia 14 tahun ini memiliki kemampuan dan kualiti untuk memberi tentangan sengit kepada kelompok pelumba terbaik di Eropah.

Dan berbekalkan keputusan memberangsangkan itu, Qabil yang kini menghuni tangga ke-6 carta kedudukan keseluruhan kejuaraan dengan mengumpul 51 mata, bertekad untuk terus konsisten bagi merapatkan jurang mata dengan kelompok pendahulu.

Menyedari cabaran getira yang bakal dihadapinya hujung minggu ini, Qabil memanfaatkan tempoh rehat perlumbaan dengan berkampung di Barcelona, Sepanyol bagi menjalani latihan intensif.

Fokus utamanya terarah kepada pemantapan tahap kecergasan fizikal serta perincian teknikal bagi menjinakkan Litar Magny-Cours yang cukup sinonim dengan cabaran selekoh pantas dan zon membrek yang sangat teknikal.

"Sudah pasti saya sangat teruja untuk turun berlumba di Magny-Cours. Saya tahu cabaran kali ini tidak mudah kerana tahap kompetitif para pelumba semakin meningkat jika dinilai pada perlumbaan terdahulu.

"Kelajuan mereka sangat konsisten bermula dari sesi latihan sehinggalah ke hari perlumbaan sebenar," katanya.

Bagaimanapun, Qabil percaya pengalaman berharga yang diraih sepanjang tiga pusingan awal musim ini mematangkannya untuk tampil lebih tenang dan membuat keputusan lebih tepat ketika berada dalam situasi getir di litar.

"Ketika ini, saya sudah membuat persiapan sebaik mungkin bersama pasukan. Saya akan berikan 100 peratus komitmen dalam setiap sesi untuk memastikan saya bersedia sepenuhnya, terutamanya bagi mengekalkan asakan di kelompok hadapan," katanya.