QABIL Irfan Cipta Magis
Qabil Irfan yang memulakan perlumbaan di petak ke-2 mempamerkan tunggangan penuh berkualiti tinggi menangkis asakan sengit barisan pelumba Indonesia sebelum melintasi garisan penamat sebagai pemenang dengan catatan masa 27 minit 45.895 saat
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/31/20261 min read
KEPULANGAN semula pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan ke litar selepas 2 bulan berehat akibat kecederaan membuahkan hasil cukup lumayan apabila dia mencipta sensasi menjuarai Perlumbaan 1 Pusingan 5 Moto4 Asia Cup (Moto4 AC) 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Memulakan perlumbaan di petak ke-2, pelumba berusia 14 tahun itu mempamerkan tunggangan penuh berkualiti tinggi menangkis asakan sengit barisan pelumba Indonesia sebelum melintasi garisan penamat sebagai pemenang dengan catatan masa 27 minit 45.895 saat (s).
Lebih membanggakan, seorang lagi wakil negara, Qayyim Razali turut berjaya menghuni pentas podium apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-3, ketinggalan 0.222s dan sekali gus menghadiahkan penamat 1-3 buat kem Malaysia di hadapan penyokong sendiri.
Pelumba Indonesia, Bintang Pranata yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-2, ketinggalan 0.166s.
Seperti diketahui, kempen pelumba kelahiran Terengganu itu pada musim ini berdepan tamparan selepas mengalami kecederaan patah tulang tibia dan fibula kaki kiri akibat kemalangan ketika beraksi dalam kempen Moto4 Euro Cup di Valencia, September lalu.
Kecederaan itu turut memaksa Qabil terlepas 2 pusingan perlumbaan dalam siri kejuaraan itu.

