QABIL Irfan Cipta Sensasi, Hadiahkan Podium Buat Malaysia Di Buriram

Kejayaan Qabil Irfan secara tidak langsung menamatkan penantian wakil negara untuk menaiki podium dalam saingan berprestij berkenaan yang dahulunya dikenali sebagai Asia Talent Cup (ATC)

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/1/20261 min read

PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan melakar sensasi apabila berjaya menamatkan kemarau podium buat Malaysia selepas muncul naib juara pada Perlumbaan 2 saingan Moto4 Asia Cup 2026 di Litar Buriram, Thailand, hari ini.

Kejayaan pelumba berbakat besar itu secara tidak langsung menamatkan penantian wakil negara untuk menaiki podium dalam saingan berprestij berkenaan yang dahulunya dikenali sebagai Asia Talent Cup (ATC).

Bermula cemerlang di petak kedua, saingan perlumbaan berlangsung dengan cukup sengit dan mendebarkan.

Qabil pada awalnya berjaya memposisikan dirinya di hadapan kelompok podium, namun asakan bertali arus daripada pelumba lain menyaksikan kedudukannya sedikit terjejas sehingga jatuh ke kedudukan keenam (P6) pada pertengahan aksi.

Bagaimanapun, berbekalkan semangat juang yang tinggi dan ketenangan di atas litar, bintang muda itu menggunakan peluang di penghujung perlumbaan secara maksimum untuk kembali memintas pesaing lain, membuktikan kemampuannya sebelum melintasi garisan penamat di tempat kedua.

Perlumbaan tersebut dimenangi oleh pelumba Jepun, Hayato Chishiki yang tampil cemerlang mendominasi saingan.

Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut buat Chishiki di litar Buriram pada minggu ini, sekali gus membolehkannya membawa pulang 50 mata maksimum secara keseluruhan.

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba negara, Naqib Rifqi Zulhelmi turut berjaya menamatkan saingan dalam kelompok pungutan mata selepas melintasi garisan penamat di kedudukan ke-12.

Bagaimanapun, nasib kurang menyebelahi Qayyim Razin apabila dia sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16.