QABIL Irfan Dakwa Kena Himpit Punca Jatuh
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/31/20241 min read


PELUMBA cilik negara, Qabil Irfan Azlan menempuh detik tidak diingini pada Perlumbaan 1 Moto4 ESBK 2024 di Estoril, Portugal semalam yang menyaksikannya menamatkan aksi di tempat ke-16.
Memperoleh sesi kelayakan yang baik untuk memulakan perlumbaan di petak ketiga, pelumba kelahiran Terengganu itu begitupun berdepan kemalangan di awal perlumbaan.
Mengulas insiden itu, pelumba berusia 12 tahun itu menjelaskan punca kemalangan itu yang turut membabitkan rakan sepasukannya, Eneko Osorio adalah disebabkan dia dihimpit pelumba Sepanyol, Eric Ruz.
"Saya di bahagian tengah, Eric berada di sebelah kanan dan himpit saya (selekoh) sampai rumput.
"Eneko yang berada di sebelah kiri turut kena sekali," kata Qabil ringkas menerusi rakaman video yang diperoleh daripada ZK Racing.
Setakat ini, tiada sebarang informasi diperoleh sama ada Ruz akan dikenakan hukuman atau tidak.
Dalam perlumbaan itu, perlumbaan dimenangi Leonardo Casadei dari Itali diikuti Enzo Zaragoza kedua dan Ruz melengkapkan podium.
