QABIL Irfan Dedah 'Rahsia' Raih Podium

Kejayaan Qabil Irfan meraih tempat ke-2 pada Perlumbaan 2 Moto4 Asia Cup 2026 di Thailand turut menamatkan penantian panjang Malaysia untuk melihat Jalur Gemilang kembali berkibar di atas podium di kejuaraan itu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/2/20261 min read

PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan mendedahkan pendekatan 'memerhati' yang diambilnya pada Perlumbaan 1 berjaya membuahkan hasil apabila dia cemerlang merangkul podium selaku naib juara pada Perlumbaan 2 saingan pembuka tirai Moto4 Asia Cup 2026 di Thailand.

Kejayaan pelumba kelahiran Terengganu itu bukan sahaja menyaksikannya memulakan kempen musim baharu dengan langkah kanan, namun turut menamatkan penantian panjang Malaysia untuk melihat Jalur Gemilang kembali berkibar di atas podium di kejuaraan berkenaan.

Sebagai info, kejuaraan Moto4 Asia Cup sebelum ini dikenali sebagai Asia Talent Cup (ATC).

Selepas berdepan kesukaran pada Perlumbaan 1 yang menyaksikannya menamatkan perlumbaan di tempat ke-6, Qabil yang bermula di petak ke-2 memperbaiki corak tunggangannya malah pada satu ketika jenteranya terbabas keluar litar dan hampir hilang kawalan.

Tetapi berbekalkan ketenangan dan pengalaman yang dimiliki, pelumba yang tiba dengan status ESBK Talent berjaya mengawal semula jenteranya dan kembali memecut laju meninggalkan pencabar lain untuk melintasi garisan penamat dengan catatan masa 26 minit 56.174 saat.

Pelumba Jepun, Hayato Chishiki muncul sebagai juara manakala seorang lagi pelumba Jepun, Kotaro Togashi menamatkan perlumbaan di tempat ke-3.

"Pada sesi kelayakan hari Sabtu, saya cuba lakukan catatan masa terbaik dan berjaya meraih petak kedua (P2) walaupun ketika itu ada sedikit masalah dengan jentera.

"Sewaktu Perlumbaan 1, memandangkan ini pengalaman pertama saya dalam saingan kompetitif sebegini di Moto4 Asia ini, saya ambil pendekatan untuk memerhati dahulu bagaimana pelumba lain beraksi. Saya cuba memberi saingan, namun hanya mampu tamat di tempat ke-6.

"Untuk Perlumbaan 2, saya cuba untuk bersaing dari awal. Misi saya adalah kekalkan posisi di kelompok hadapan dari mula hingga ke garisan penamat. Banyak perkara saya belajar daripada perlumbaan semalam dan saya sangat gembira akhirnya berjaya meraih tempat kedua," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba negara, Muhammad Naqib Rifqi Zulhelmi turut mempamerkan peningkatan positif apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-12, sekali gus membawa pulang empat mata berharga.

Tetapi nasib tidak menyebelahi seorang lagi wakil negara, Qayyim Razin Razali yang masih mencari rentak apabila sekadar menamatkan saingan di tempat ke-16, mengulangi kedudukan sama seperti Perlumbaan 1.

Pusingan kedua dijadual berlangsung di Qatar pada 12 April depan.

Kredit foto: ZK Racing