QABIL Irfan Garang Hari Pertama Ujian Rasmi Moto4 Asia Cup 2026 Di SIC

Selepas mendominasi tiga sesi pagi, Qabil Irfan yang juga juara ESBK Talent 2025 terus membuktikan kehebatan dengan menguasai tiga lagi sesi pada sebelah petang

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/9/20261 min read

PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan mencuri tumpuan pada hari pertama Ujian Rasmi Moto4 Asia Cup 2026 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC) apabila mencatat masa terpantas dalam kesemua enam sesi yang berlangsung hari ini.

Selepas mendominasi tiga sesi pagi, juara ESBK Talent 2025 itu terus membuktikan kehebatan dengan menguasai tiga lagi sesi pada sebelah petang.

Catatan terbaiknya direkodkan pada sesi ketiga dengan masa 2 minit 17.006 saat, sekali gus mengukuhkan reputasi sebagai pencabar utama kejuaraan pada musim ini sekali pun tiba sebagai 'rookie'.

Dua lagi wakil negara, Qayyim Razin dan Naqib Rifqi turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila masing-masing berada dalam kelompok 10 terpantas pada sesi terakhir.

Catatan masa terbaik Qayyim adalah 2:19.048 saat manakala Naqib pula 2:19.415 saat.

Secara keseluruhan, prestasi trio negara dianggap positif menjelang perlumbaan pembuka tirai di Grand Prix Thailand pada hujung bulan ini.

Seperti diketahui, saingan Moto4 Asia Cup yang dulu dikenali Asia Talent Cup (ATC) turut disertai pelumba muda berbakat dari seluruh Asia termasuk Thailand, Indonesia, India, Jepun dan China.

Hari terakhir ujian rasmi esok dijangka menjadi medan penting buat semua pelumba menguji strategi sebelum turun ke gelanggang sebenar pada perlumbaan pertama musim.