QABIL Irfan Idam Gelaran Dunia Kedua
Pelumba berusia 13 tahun, Qabil Irfan mencipta sejarah apabila mengesahkan gelaran juara keseluruhan ESBK Talent pada Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) lebih awal, selepas memenangi kedua-dua perlumbaan di Litar Estoril, Portugal pada Ahad lalu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/15/20252 min read


SELEPAS mengesahkan gelaran keseluruhan ESBK Talent 2025 di Estoril, Portugal, pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan menghalakan fokusnya untuk menamatkan kempen musim ini dengan nota bergaya, termasuk bergelar juara dunia di kejuaraan FIM MiniGP Dunia Final, hujung tahun ini.
Pelumba berusia 13 tahun itu mencipta sejarah apabila mengesahkan gelaran juara keseluruhan ESBK Talent pada Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) lebih awal, selepas memenangi kedua-dua perlumbaan di Litar Estoril, Portugal pada Ahad lalu.
Meskipun gelaran juara keseluruhan ESBK Talent sudah berada dalam genggaman, anak jati Terengganu itu bertekad untuk melengkapkan musim gemilangnya dengan membolot kemenangan pada baki dua perlumbaan ESBK Talent yang ditawarkan pada pusingan terakhir di Jerez, November ini selain gelaran dunia keduanya di FIM MiniGP Dunia Final.
Menurut Qabil, kejayaan menjuarai ESBK Talent itu melonjakkan semangatnya untuk menghadapi saingan sengit di pentas FIM MiniGP Dunia Final selepas dia sekadara menamatkan saingan di tempat kelima keseluruhan pada tahun lalu.
"Kejayaan di ESBK ini akan membuatkan saya lebih bersemangat untuk berlumba di Final Dunia FIM MiniGP nanti," kata Qabil ketika ditemui sejurus tiba di Malaysia dari Portugal, malam tadi.
"Saya rasa pada tahun ini mungkin kebanyakan pelumba di MiniGP Dunia Final adalah muka baharu tetapi dengan kemenangan ini, saya rasa lebih yakin untuk menghadapi saingan di Sepanyol nanti... Insya-Allah."
Selesai enam pusingan ESBK Talent, Qabil ketika ini mengumpul 252 mata, meninggalkan pencabar terdekat dari Switzerland, Alessio Arnold yang hanya mengumpul 191 mata sekali gus terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Mengulas lanjut, Qabil berkata dia akan berlatih lebih gigih untuk cuba meraih kemenangan sekali lagi di Jerez nanti dengan sasarannya untuk memenangi kedua-dua perlumbaan.
Bercerita mengenai prestasinya di Estoril, Qabil menjelaskan perancangan rapi pasukan serta persediaan awal menjadi kunci kejayaannya menakluki litar berkenaan.
"Memang saya dan pasukan cuba sehabis baik untuk memberikan segala-galanya di Estoril. Kami bekerja keras mencari pelarasan terbaik sejak hari Jumaat lagi. Jadi berjaya memenangi kedua-dua perlumbaan di sini adalah sangat bermakna untuk saya," katanya.
"Saya juga sudah ada pengalaman di litar ini. Pada tahun lepas saya mengulangkaji litar ini kerana saya sudah berlumba dua kali di Estoril. Jadi, saya cuba cari pelarasan dari awal hingga pusingan kelayakan dan terus fokus sepenuhnya semasa perlumbaan.
"Pasukan juga melakukan tugas cemerlang. Mereka ada membuat banyak perubahan kepada jentera termasuk 'fairing' baharu dan ia benar-benar membuatkan jentera saya menjadi lebih baik," kata Qabil.
