QABIL Irfan Idam Menang Di Jerez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/3/20251 min read

SASARAN tinggi diletakkan pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan pada Pusingan 1 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 yang dijadual berlangsung di Litar Jerez, minggu ini.

Pelumba berusia 13 tahun itu yang berlepas ke Sepanyol, semalam dan akan menyertai kelas perlumbaan baharu pada musim ini ESBK Talent Cup berbanding kategori Moto4 tahun lalu.

Tetapi, penukaran kelas perlumbaan itu dan ketiadaan ujian pra-musim rasmi susulan kejadian bencana banjir yang melanda Jerez tidak membuatkan pelumba kelahiran Terengganu itu merasakan kedudukan podium malah kemenangan bukan sesuatu yang jauh daripada jangkauannya.

"Saya terlepas sesi ujian di Jerez sebelum ini kerana banjir tetapi saya sudah membuat ujian di Sepang (Litar Antarabangsa Sepang) yang cukup sebagai persediaan.

"Jadi saya berharap semuanya berjalan lancar. Saya meletak sasaran untuk memenangi perlumbaan dan berada di podium untuk Pusingan 1 ini nanti.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan), ZK Racing, SIC Racing, Frando Racing, Terengganu Inc, RCB kerana menyokong saya," katanya.

Pada musim ini, Qabil akan kekal bersama pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly dan beraksi menggunakan jentera Honda NSF 250R.

Perlumbaan ESBK Talent Cup pada musim ini dijadual berlangsung sebanyak tujuh pusingan dan bakal dijalankan di beberapa litar terkemuka antaranya Catalunya, Navarra, Jerez, Aragon di Sepanyol serta Estoril di Portugal.

Sebagai info, Qabil berjaya meraih satu kemenangan pada penampilan sulungnya di pentas Moto4 musim lalu dan menamatkan kempen di kedudukan ke-4 keseluruhan selepas mengumpul keseluruhan 181 mata.