QABIL Irfan Janji Akan Terus Berikan Yang Terbaik

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/7/20251 min read

PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan berjanji untuk terus berlatih dengan gigih dalam usaha meraih lebih banyak kejayaan di masa depan.

Pelumba berusia 13 tahun itu pada hujung minggu lalu merangkul kemenangan berganda pada Pusingan 1 perlumbaan ESBK Talent di Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 di Jerez, Sepanyol.

Selepas menamatkan saingan Moto4 di ESBK musim lalu di kedudukan ke-4, keputusan yang diraih jelas berbaloi apabila Qabil terpaksa 'mengorbankan' cuti rayanya apabila 'terbang' ke Sepanyol seawal raya kedua.

Begitupun, dia tidak berseorangan dan ditemani bapanya, Azlan Abdul Rahman dan Pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin.

"Semua kejayaan ini adalah hasil daripada usaha keras pasukan, keluarga serta sokongan dan doa daripada semua penyokong dan rakyat Malaysia," kata Qabil.

"Terima kasih saya ucapkan kepada semua penaja yang sentiasa berdiri bersama saya. Perjalanan saya belum berakhir. Masih ada enam pusingan lagi untuk ditempuhi tahun ini.

"Kemenangan ini meningkatkan motivasi saya untuk berlatih dengan lebih gigih dan terus memberikan yang terbaik."

Pelumba pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly itu berjaya mempamerkan tunggangan konsisten sepanjang perlumbaan dan untuk mengatasi saingan hebat terutama daripada pelumba tuan rumah, Izan Rodriguez sebelum meraih kemenangan.

"Saya memang tahu yang Izan adalah pencabar terdekat saya," kata Qabil. "Pada Perlumbaan, ia lebih sengit di mana Izan berjaya memintas saya beberapa kali ketika perlumbaan.

"Pada pusingan terakhir, saya cuba untuk membawa diri saya ke depan dan Alhamdulillah dia tidak sempat memotong saya kembali."

Berdasarkan kalendar daripada laman sesawang penganjur kejohanan, pusingan kedua ESBK Talent dijadual berlangsung di Litar Catalunya, Barcelona, Sepanyol pada 19 hingga 22 Jun depan.