QABIL Irfan Juara Keseluruhan ESBK Talent 2025

Gelaran juara yang dirangkul Qabil Irfan disahkan lebih awal sebelum kejuaraan membabitkan pelumba berbakat seluruh dunia itu dijadual menutup tirainya di Jerez, Sepanyol pada November depan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/14/20251 min read

GELARAN juara keseluruhan ESBK Talent 2025 sah menjadi milik pelumba negara, Qabil Irfan Azlan yang cemerlang menjuarai Perlumban 2 kategori berkenaan pada Pusingan ke-6 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) di Litar Estoril, Portugal, hari ini.

Lebih menarik, gelaran yang dirangkul pelumba berusia 13 tahun itu disahkan lebih awal sebelum kejuaraan membabitkan pelumba berbakat seluruh dunia itu dijadual menutup tirainya pada November depan di Jerez, Sepanyol.

Ia juga adalah kemenangan berganda buat pelumba kelahiran Terengganu itu selepas turut cemerlang memastikan lagu Negaraku bergema di Portugal pada Perlumbaan 1, semalam.

Bermula di petak depan susulan kemenangan yang diperolehnya semalam, Qabil tidak menunggu lama untuk 'menyerang' menerusi corak perlumbaan agresif apabila terus meluru ke hadapan bagi mencipta jurang selamat dengan pelumba lain.

Tetapi, dia tidak diberikan kerja mudah apabila kelompok pengejar yang diketuai pelumba Sepanyol, Oliver Cantos yang sentiasa menghambat pelumba pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly itu sepanjang perlumbaan.

Begitupun di sebalik usaha keras dilakukan para pencabarnya, 'permata' muda negara itu terus tidak dapat didekati dan melepasi garisan penamat dengan kelebihan 2.755 saat (s) di depan Cantos.

Cantos dari pasukan AIPAR Racing terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan seorang lagi pelumba Sepanyol, Iza Rodriguez dari ETG Racing melengkapkan kedudukan podium.

"Saya amat gembira bergelar juara dan gembira dengan perlumbaan hari ini. Terima kasih kepada pasukan yang banyak membantu saya menyiapkan jentera saya, penaja dan ibu bapa saya.

"Terima kasih juga kepada semua yang selalu mendoakan kejayaan saya dan sentiasa menyokong saya. katanya.

Kemenangan menyaksikan Qabil mengumpul keseluruhan 252 mata dan tidak mampu dipintas pencabar terdekatkan, Alessio Arnold dari Switzerland yang mengumpul 191 mata di tempat kedua.