QABIL Irfan Julang Malaysia, Raih Kemenangan Ke-3 ESBK Talent Di Catalunya!
Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan memastikan lagu Negaraku bergema di bumi Sepanyol kali ini di Litar Catalunya, Barcelona selepas menjuarai Perlumbaan 2 ESBK Talent pada Pusingan 2 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/22/20251 min read


QABIL Irfan Azlan memastikan lagu Negaraku sekali lagi bergema di bumi Sepanyol kali ini di Litar Catalunya, Barcelona selepas menjuarai Perlumbaan 2 ESBK Talent pada Pusingan 2 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025, hari ini.
Selepas menamatkan Perlumbaan 2 sebagai naib juara, semalam, pelumba berusia 13 tahun itu tampil dengan strategi berbeza dalam perlumbaan yang seperti dijangka berlangsung cukup sengit.
Tetapi, ia tidak menghalang pelumba kelahiran Terengganu itu untuk melepasi garisan penamat sebagai juara dengan kelebihan hanya 0.01 saat mengatasi pelumba Bulgaria, Nicola Miroslavov yang terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan sebagai naib juara.
Pelumba Switzerland, Alessio Arnold melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.
Qabil ketika ditemuramah mengakui ia perlumbaan yang sukar.
"Tayar mengalami gelinciran yang terlalu banyak. Rancangan saya adalah untuk cuba mengekalkan cengkaman tetapi saya tahu apa yang perlu dilakukan," kata Qabil.
Kemenangan menyaksikan Qabil yang beraksi bersama pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly terus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu carta kedudukan keseluruhan kategori ESBK Talent selepas dua pusingan.
Pada Pusingan pertama di Jerez, April lalu, Qabil cemerlang menyapu bersih kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan.
