QABIL Irfan Ke-4 Keseluruhan FIM MiniGP World Final 2025
Bersaing dalam kategori elit 190cc, Qabil Irfan yang pernah meraih gelaran keseluruhan 160cc berdepan kesukaran termasuk kemalangan pada Perlumbaan 1 dan Super Final yang merencatkan peluangnya menjuarai gelaran keseluruhan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/13/20251 min read


PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan terpaksa berpuas hati untuk menamatkan kempen FIM MiniGP World Final 2025 di Valencia, Sepanyol di kedudukan ke-4 keseluruhan.
Bersaing dalam kategori elit 190cc, Qabil yang pernah meraih gelaran keseluruhan 160cc berdepan kesukaran termasuk kemalangan pada Perlumbaan 1 dan Super Final yang merencatkan peluangnya menjuarai gelaran keseluruhan.
Sebagai info, tiga perlumbaan berlangsung pada kempen kali ini iaitu Perlumbaan 1,2 dan Super Final.
Selepas tampak cukup gah dalam sesi latihan bebas dan kelayakan, Perlumbaan berlangsung sukar apabila berdepan kemalangan ketika sedang mendahului namun pelumba berusia 13 tahun itu bangkit menamatkan saingan di tempat ke-5.
Pada Perlumbaan 2, Qabil berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga namun persaingan dalam Perlumbaan Super Final sekali lagi menyaksikannya tidak bernasib baik.
Bermula di petak kelima, anak muda kelahiran Terengganu itu dilanggar pelumba Britain, Ethan Trevorrow di selekoh terakhir, sekali gus, terpaksa akur menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.
Keputusan yang diperoleh daripada ketiga-tiga perlumbaan menyaksikan Qabil menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan dengan mengumpul 45 mata.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara dalam kelas 190cc, Adam Aiman Ameer Ali, 13 menamatkan saingan keseluruhan di tempat ke-15.
Pelumba China yang mewakili MiniMoto Sepanyol, Shengbo Sun dinobatkan sebagai juara keseluruhan 190cc selepas mengumpul 95 mata, manakala, Dieogo Gonzalez dari Venezuela di tempat kedua (78 mata) dan wakil Jerman, Ole Sauberlich di kedudukan ketiga (46 mata).
Sementara itu, dalam saingan kategori 160cc, wakil negara, Al-Adam Mikail Mohd Hamirul Aliff menamatkan aksi di kedudukan ke-11 keseluruhan selepas mengutip 16 mata.
Seorang lagi pelumba cilik negara, Qasha Irfan tidak berjaya meloloskan diri ke perlumbaan utama selepas tidak melepasi sesi kelayakan.
Juara keseluruhan menjadi milik pelumba Poland, Witold Dariusz Kupczynski dengan kutipan 95 mata, manakala, Daniel Putorti dari Itali bergelar naib juara (72 mata) dan pelumba seorang lagi pelumba Poland, Jan Babiarz tempat ketiga (71 mata).

