QABIL Irfan Kuasai Sesi Latihan Bebas Rasmi ESBK Talent Di Aragon

Penguasaan penuh ditampilkan pelumba muda berbakat negara, Qabil Irfan Azlan apabila mencatat masa terpantas kedua-dua sesi Latihan Bebas 3 dan 4 (Rasmi) ESBK Talent pada Pusingan 3 ESBK 2025 di Aragon

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/27/20251 min read

PELUMBA muda berbakat negara, Qabil Irfan Azlan terus membuktikan keupayaannya apabila mencatat masa terpantas kedua-dua sesi Latihan Bebas 3 dan 4 (Rasmi) ESBK Talent pada Pusingan 3 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 di Aragon, hari ini.

Pada sesi Latihan Bebas 3, pelumba pasukan Frando Racing VHC Team Luqui Moly itu mencatatkan masa terpantas 2 minit 03.682 saat (s), 0.255s lebih pantas berbanding pelumba yang mencatat masa kedua terpantas, Alessio Arnorld dari Switzerland.

Pelumba tuan rumah, Enzo Zaragoza melakukan catatan ketiga terpantas, 2 minit 04.356s.

Qabil dari Terengganu sekali lagi menampilkan dominasi pada sesi Latihan Bebas 4 apabila sekali lagi merekodkan catatan terpantas.

Lebih menarik, hanya Qabil melakukan bawah 2:03s dengan Arnold dari pasukan Full Moto Squadra Corse dan Zaragoza (ETG Racing) melakukan catatan ke-2 dan ke-3 terpantas.

Qabil ketika ini sedang memimpin carta kejuaraan ESBK Talent selepas mengumpul keseluruhan 95 mata daripada empat perlumbaan yang menyaksikannya muncul juara dalam tiga perlumbaan dan sekali naib juara.

Sebagai info, kejuaraan ESBK Talent adalah salah satu platform pembangunan bakat muda paling kompetitif di Eropah.