QABIL Irfan Mahu Keputusan Lebih Baik Di Estoril

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/3/20241 min read

KEPUTUSAN lebih baik berbanding Valencia, Sepanyol. Itu sasaran pelumba cilik negara, Qabil Irfan Azlan bagi aksi Pusingan 3 perlumbaan Moto4 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2024 di Estoril, Portugal minggu ini.

Sebelum ke Estoril, pelumba kelahiran Terengganu itu mendapat 'suntikan' semangat selepas menjalani sesi ujian Moto4 di Barcelona, Sepanyol.

Disifatkan sebagai ujian yang produktif, Qabil yakin dia kini lebih bersedia untuk memberi saingan pada aksi di Portugal itu.

"Harapan saya adalah untuk kekal bersaing di kelompok hadapan di kedua-dua perlumbaan di Estoril ini," kata Qabil Irfan.

"Saya harap saya boleh mendapat keputusan yang lebih baik dari pusingan ni Valencia sebelum ini. Saya akan cuba yang terbaik untuk dapatkan podium hujung minggu ini. Doakan saya dan kejayaan saya disini."

Pada aksi di Valencia, Qabil Irfan meraih tempat ke-4 pada Perlumbaan 1 namun prestasinya sedikit merudum pada Perlumbaan 2 yang menyaksikannya menamatkan aksi di kedudukan ke-7.

Selepas dua pusingan sudah berlangsung, Qabil Irfan kini menduduki kedudukan ketujuh dalam carta kedudukan pelumba Moto4 selepas mengumpul keseluruhan 44 mata.

Sebagai info, tiada siaran langsung tersedia untuk Perlumbaan 1 namun Perlumbaan 2 akan dipancarkan secara langsung pada Ahad menerusi laman YouTube RFME.