QABIL Irfan Mahu Tebus Kekecewaan
Qabil Irfan Azlan menjangkakan cabaran lebih sengit menantinya dalam Perlumbaan 2 selepas menamatkan Perlumbaan 1 ESBK Talent Pusingan 3 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 sebagai naib juara
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/29/20251 min read


PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan menjangkakan cabaran lebih sengit menantinya dalam Perlumbaan 2, hari ini selepas menamatkan Perlumbaan 1 ESBK Talent Pusingan 3 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 sebagai naib juara, semalam.
Pada perlumbaan di Litar MotorLand Aragon, Sepanyol itu, Qabil yang bermula dari petak utama hanya dipisahkan 0.01 saat daripada pemenang yang juga wakil tuan rumah, Enzo Zaragoza dalam perlumbaan dramatik yang berlangsung sengit hingga ke selekoh terakhir.
"Saya menjangkakan hari ini akan lebih mencabar hari ini. Saingan pasti akan sengit, jadi saya akan cuba tampil lebih kuat dan fokus untuk capai kemenangan," kata Qabil, 13, yang beraksi bersama pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly.
Seorang lagi pelumba Sepanyol, Izan Rodriguez melengkapkan kedudukan podium semalam di tempat ketiga.
Mengulas aksi Perlumbaan 1, pelumba asal Terengganu itu mengakui ia cukup mencabar dan dia sudah pun memberikan yang terbaik.
"Saya cuba untuk lari daripada kelompok utama tetapi ada pelumba yang berjaya mengejar malah ada pelumba dalam kelompok ini perlahan yang menyebabkan kumpulan kedua hampir mengejar.
“Saya memang cuba nak mendahului dan sudah berada di depan sampai selekoh terakhir, tetapi tetapi berjaya dipuntas. Apapun, Alhamdulillah, tetap syukur dapat tempat kedua.”
Keputusan di Aragon, semalam meneruskan rentak cemerlang Qabil dalam kempen ESBK Talent musim ini dengan sentiasa berada di podium termasuk tiga kemenangan daripada lima perlumbaan.
Hasil konsistensi itu menyaksikan pelumba yang di bawah pengurusan bakat SIC Racing itu mengukuhkannya kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan kategori ESBK Talent selepas lima perlumbaan.
Sekali pun kali pertama berlumba di Aragon, Qabil sebelum ini mengharungi latihan persendirian selama dua hari di litar berkenaan selain mendapat bimbingan teknikal daripada jurulatih profesional di Tarragona dan 'bantuan' daripada pelumba negara yang juga bersaing di Eropah, Hakim Danish Ramli.
