QABIL Irfan Menang Lagi!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/6/20251 min read


PELUMBA muda berbakat negara, Qabil Irfan Azlan menyapu bersih kedua-dua gelaran juara yang ditawarkan pada Pusingan 1 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 apabila memenangi Perlumbaan 2 ESBK Talent yang berlangsung di Litar Jerez, Sepanyol, hari ini.
Kejayaan pelumba berusia 13 tahun itu turut memastikan Jalur Gemilang terus berkibar megah dengan Lagu Negaraku bergema di bumi Sepanyol.
Seperti Perlumbaan 1 yang turut dimenangi Qabil, semalam, pelumba Sepanyol, Izan Rodriguez sekali lagi menjadi pencabar terhebatnya sebelum terpaksa berpuas hati menamatkan saingan sebagai naib juara.
Kedudukan podium juga tidak berubah apabila seorang lagi pelumba Sepanyol, Andres Garcia melengkapkan kedudukan podium.
Selepas memulakan perlumbaan di petak utama susulan kejayaan semalam, Qabil jelas tidak diberikan laluan mudah oleh Rodriguez dengan kedua-duanya saling bertukar posisi pendahulu sepanjang perlumbaan.
Tetapi, Qabil yang beraksi bersama pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly membuktikan dia lebih berhak menang dan melepasi perlumbaan 14 pusingan dengan catatan masa 26 minit 08.299 saat (s)..
"Alhamdulillah. Saya amat gembira kerana kerana dua kali berjaya memenangi perlumbaan di sini," kata Qabil ketika ditemuramah selepas perlumbaan.
"Terima kasih kepada pasukan saya yang bekerja keras untuk menyediakan jentera yang baik untuk saya."
Sebagai info, Pusingan 2 ESBK Talent dijadual berlangsung di Litar Catalunya, Barcelona, Sepanyol pada 19 hingga 22 Jun depan.
