QABIL Irfan Mula Aksi Moto4 EC Estoril Dari Petak ke-10

Kedudukan di barisan ke-4 itu diperoleh selepas Qabil Irfan yang mengibarkan cabaran pasukan SIC-GRYD Racing itu merekodkan masa ke-5 terpantas pada sesi Kelayakan 2 (Q2) Kumpulan B, hari ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/13/20261 min read

PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan akan memulakan Perlumbaan 1 Pusingan 2 kejuaraan Moto4 European Cup (Moto4 EC) 2026 di Litar Estoril, Portugal dari petak ke-10, esok.

Kedudukan di barisan ke-4 itu diperoleh selepas pelumba berusia 14 tahun yang mengibarkan cabaran pasukan SIC-GRYD Racing itu merekodkan masa ke-5 terpantas pada sesi Kelayakan 2 (Q2) Kumpulan B, hari ini.

Pada sesi berkenaan, Qabil melakar catatan masa sepusingan 1 minit 47.207 saat (s).

Keputusan pada sesi kelayakan ini hakikatnya sedikit mengecewakan berbanding rentak luar biasa yang dipamerkannya pada hari pertama, semalam.

Terdahulu, anak jati Terengganu ini mencipta sensasi dan mencuri tumpuan ramai apabila cemerlang mendominasi litar dengan merekodkan masa terpantas dalam kedua-dua sesi Latihan Bebas 1 dan 2.

Momentum bertenaga itu turut diteruskan pada sesi latihan pagi ini apabila dia mencatat masa ke-2 terpantas Kumpulan B, sekali gus meraih tiket automatik untuk mara terus ke penentuan grid Q2.

Keputusan pada Perlumbaan 1 jelas amat penting buat Qabil memandangkan format kejuaraan menetapkan kedudukan petak mula untuk Perlumbaan 2 nanti akan ditentukan sepenuhnya berdasarkan keputusan penamat Perlumbaan 1.

Sementara itu, pada sesi Q2 Kumpulan B, pelumba pasukan Leopard Junior dari Itali, Edoardo Savino muncul pelumba terpantas dengan catatan 1:46.788s, diikuti rakan senegaranya dari AC Racing Team, Mathias Tamburini ke-2 terpantas (1:46.856s).

Pelumba Colombia, Mateo Marulanda mencatat masa ke-3 terpantas (1:46.885s), manakala wakil Filipina dari Honda Asia-Dream Racing Junior Team, Alfonsi Daquigan mencatatkan masa ke-4 menerusi catatan masa 1:46.908s.