QABIL Irfan P6 Perlumbaan 1 Moto4 ESBK 2024 Di Jerez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/6/20241 min read

PELUMBA cilik negara, Qabil Irfan Azlan menamatkan Perlumbaan 1 Moto4 di Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2024, hari ini di tangga ke-6.

Pada aksi yang berlangsung di Litar Jerez, Sepanyol itu, perlumbaan dimenangi pelumba tuan rumah, Enzo Zaragoza yang melepasi garisan penamat dengan catatan 22 minit 34.523 saat (s).

Bersaing rapat dan mengikuti pelumba itu di podium adalah pelumba Itali, Leonardo Casadei (+0.019s).

Dan melengkapkan podium adalah rakan sepasukan Qabil di VHC Frando Racing, Eneko Osorio (+0.149s).

Qabil yang beraksi buat kali pertama di kejuaraan berkenaan dalam pada itu melepasi garisan penamat 0.933s di belakang Zaragoza.

Sebagai info, kempen Moto4 di ESBK 2024 disertai pelumba-pelumba berusia 12 hingga 14 tahun dari pelbagai negara antaranya Itali, Perancis, Amerika Syarikat dan Switzerland.

Jentera yang digunakan adalah jenis prototaip sama seperti Moto3 dan menggunakan dua jenis casis Beon dan Corse.

Pasukan yang disertai Qabil, VHC Frando Racing menggunakan casis Corse.

Dari sudut trenkuasa, jentera Moto4 menggunakan enjin daripada Honda CRF 150 yang menghamburkan kuasa sekitar 36-37 Hp.

Perlumbaan 2 dijadual berlangsung esok dan dijadual ditayangkan sexara langsung di Youtube RFME.