QABIL Irfan Patah Kaki Kiri, Selamat Jalani Pembedahan
Kecederaan parah yang membabitkan tulang tibia dan fibula itu memaksa Qabil Irfan dikejarkan ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan kecemasan dengan sesi FP2 Moto4 European Cup dihentikan serta merta
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/4/20261 min read


PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan mengalami kecederaan serius patah tulang kaki kiri selepas terbabit kemalangan pada sesi Latihan Bebas 2 (FP2) Moto4 European Cup (Moto4 EC) 2026 di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol, semalam.
Kecederaan parah yang membabitkan tulang tibia dan fibula itu memaksa pelumba berbakat besar berkenaan dikejarkan ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
Insiden malang itu berlaku apabila Qabil dilaporkan terjatuh ketika sedang mengambil selekoh ke-5 menuju ke selekoh 6 litar dengan pelumba yang berada di belakangnya tidak sempat mengelak lalu merempuh kaki pelumba negara itu.
Susulan insiden ngeri itu, pengurusan perlumbaan bertindak menghentikan serta-merta sesi FP2 bagi membolehkan pasukan perubatan memberikan rawatan awal sebelum dia dibawa ke hospital dengan ditemani wakil pasukan MLAV Racing.
Meskipun berdepan kecederaan serius, peminat sukan pemotoran negara boleh menarik nafas lega apabila Qabil disahkan stabil dan selamat menjalani pembedahan.
"Qabil sudah menjalani pembedahan bagi merawat kecederaannya. Pembedahan yang memakan masa kira-kira 2 jam itu berakhir pada jam 7.00 pagi tadi mengikut waktu Malaysia.
"Ketika ini, dia masih berada di hospital untuk pemantauan rapi oleh pakar perubatan sebelum dibenarkan pulang ke tanah air. Berdasarkan nasihat doktor, Qabil dijangka boleh pulang ke Malaysia selepas kira-kira lima hari, namun ia tertakluk kepada perkembangan tahap kesihatannya," menurut ZK Racing, hari ini.
Sepanjang proses rawatan di Sepanyol, kebajikan Qabil terus menjadi keutamaan. Dia kini ditemani oleh bapanya, Azlan Abd Rahman serta rakan pelumba negara, Hakim Danish Ramli. Turut berada di sisi adalah wakil pengurusan daripada pasukan MLAV Racing dan ZK Racing.
Dalam pada itu, pihak MLAV Racing dan ZK Racing terus bekerjasama rapat bagi memastikan kelancaran urusan rawatan, selain memantau secara langsung perkembangan terkini daripada pihak doktor dan keluarga Qabil.
"ZK Racing mendoakan agar Qabil terus diberikan kekuatan mental dan fizikal untuk mengharungi proses pemulihan dengan baik, seterusnya kembali pulih sepenuhnya dalam masa terdekat."

