QABIL Irfan, Qayyim Razin 'Mengganas' Di Beranang
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/4/20241 min read


QABIL Irfan Azlan terus membuktikan dia berada di kelas tersendiri apabila sekali lagi menyapu bersih kedua-dua perlumbaan kelas 190 cc yang ditawarkan di Pusingan 4 Kejuaraan FIM MiniGP Series Malaysia 2024 di Litar Beranang, hari ini.
Ketika dominasi Qabil seperti sudah dijangka, apa yang menarik perhatian di Beranang adalah prestasi yang ditampilkan juara bertahan, Farish Hafiy yang sekali lagi menamatkan kedua-dua perlumbaan selaku naib juara.
Apa yang menariknya, Farish memulakan perlumbaan di petak ke-10 susulan kesukaran yang dihadapinya ketika kelayakan yang berlangsung dalam keadaan hujan.
Sementara itu, seorang lagi pelumba Terengganu Adam Danial menamatkan kedua-dua perlumbaan di tangga ketiga.
Dalam kelas 160 cc, persaingan makin sengit selepas pelumba kelahiran Kuala Lumpur, Qayyim Razin melakar kejutan dengan menjuarai kedua-dua perlumbaan.
Kejayaan Qayyin pasti memberikan kesukaran buat pendahulu kejuaraan, Airel Marzuki dalam pemburuan gelaran keseluruhan sekalipun pelumba kelahiran Terengganu itu menamatkan kedua-dua perlumbaan sebagai naib juara.
Kemenangan berganda menyaksikan Qayyim kini mengumpul 136 mata dengan Airel memiliki 167 mata. Pelumba Vietnam, Nguyen Viet Tuan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, juga pada kedua-dua perlumbaan.
Sementara itu, saingan SIC Ohvale Junior sekali lagi menyaksikan penguasaan Al-Adam Mikail yang mencipta kemenangan berganda di Beranang sekaligus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu dengan 191 mata.
Sebagai info, ini adalah kali pertama Litar Beranang atau Horizon Beranang Circuit menganjurkan perlumbaan Kejuaraan FIM MiniGP Series Malaysia.
Saingan Kejuaraan FIM MiniGP Series Malaysia 2024 dijadual menutup tirainya di Litar Go-Kart Antarabangsa Sepang pada 19 dan 20 Oktober depan.
Sebagai info, gelaran sebagai juara keseluruhan akan memberikan tiket ke saingan World Finals di Valencia, Sepanyol pada November ini.
