QABIL Irfan Sah Beraksi Di Moto4 European Cup 2026 Bersama MLav Junior Team

Seperti diketahui, Qabil Irfan yang mencipta kejutan dengan muncul juara keseluruhan ESBK Talent 2025 di Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) menjadi prospek hangat di Eropah

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/14/20261 min read

SELEPAS sekian lama berteka-teki, pelumba muda berbakat negara, Qabil Irfan Azlan disahkan menyertai pasukan MLav Junior Team bagi menghadapi kempen Moto4 European Cup musim 2026.

Seperti diketahui, Qabil yang mencipta kejutan dengan muncul juara keseluruhan ESBK Talent 2025 di Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) menjadi prospek hangat di Eropah.

Tetapi sedikit mengecewakan, pasukan awal yang bakal disertainya 72 Artbox Racing menarik diri di saat akhir yang memaksa pengurusannya, SIC Racing melalui beberapa siri perbincangan bersama beberapa pasukan lain bagi memastikan Qabil terus berada dalam pasukan yang kompetitif dan berpotensi merebut kejuaraan.

Ditambah dengan masa yang semakin suntuk dan kekosongan tempat yang terhad, SIC Racing menerusi pengurusnya, Zulfahmi Khairuddin sekali lagi mengadakan perbincangan bersama beberapa pasukan lain bagi memastikan Qabil kekal beraksi di Eropah musim 2026.

Dan selepas penilaian lanjut, pihak SIC Racing akhirnya memilih MLAV Junior Team, pasukan dimiliki oleh bekas pelumba MotoGP, Michael Laverty.

Menurut SIC Racing, hubungan baik antara Zulfahmi dan Laverty, selain perkongsian visi serta misi dalam pembangunan bakat pelumba muda, menjadi antara faktor utama kerjasama ini dimeterai.

Sebagai rekod, pada sepanjang musim 2025, Qabil mencatat 6 kemenangan dan 5 penamat podium di pentas ESBK Talent, sekali gus membuktikan prestasi yang konsisten dan luar biasa di pentas Eropah.

MLav Racing terkenal sebagai pasukan yang aktif dalam pembangunan pelumba-pelumba muda dari British, dan penyertaan Qabil dilihat sebagai satu langkah positif dalam memperluaskan pengalamannya dalam persekitaran pasukan yang berteraskan pembangunan bakat, selari dengan aspirasi SIC Racing.