QABIL Irfan Sasar Takluk Dua Gelaran

Di pentas ESBK Talent, Qabil Irfan mengumpul 173 mata untuk menghuni tangga teratas carta kedudukan pelumba serta memimpin carta FIM MiniGP Malaysia dengan menjuarai kesemua perlumbaan yang sudah dipertandingkan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/6/20251 min read

Dua gelaran berprestij - Juara Keseluruhan ESBK Talent Cup dan Kejuaraan Dunia FIM MiniGP - menjadi sasaran utama pelumba muda berbakat negara, Qabil Irfan Azlan sekali gus menamatkan kempen bagi musim ini dengan nota gemilang.

Pelumba berusia 13 tahun kelahiran Terengganu itu setakat ini berada di landasan terbaik untuk mencapai kejayaan itu apabila mendahului carta keseluruhan bagi kedua-dua kejuaraan.

Di pentas ESBK Talent, Qabil mengumpul 173 mata untuk menghuni tangga teratas carta kedudukan pelumba dalam kejuaraan yang menampilkan pelumba-pelumba berbakat seluruh dunia serta memimpin carta FIM MiniGP Malaysia dengan menjuarai kesemua perlumbaan sudah dipertandingkan.

Setakat ini, Qabil sudah merekodkan empat kemenangan, tiga tempat kedua dan satu tempat ke-4 daripada lapan perlumbaan dalam kempen ESBK Talent dengan mendominasi FIM MiniGP Malaysia yang juga tiket ke Kejuaraan Dunia FIM MiniGP yang dijadual berlangsung di Sepanyol.

"Alhamdulillah, segala-galanya berjalan sangat baik untuk saya setakat ini. Jika dibandingkan dengan tahun lalu, ini adalah musim terbaik saya," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

"Kalau cakap mengenai impian, memang saya mahu menang kedua-dua kejuaraan ini pada musim ini jadi saya akan berusaha lebih keras."

Qabil menjelaskan fokus utama ketika ini adalah untuk mengekalkan kecergasan fizikal dan mental, selain meneruskan latihan intensif menjelang baki tiga pusingan terakhir musim.

"Insya-Allah saya akan jaga kesihatan dan kekal bersedia. Saya juga akan berlatih lebih kuat untuk hadapi tiga pusingan terakhir nanti dan kekal bersaing di bahagian depan.

"Saya sedar yang pencabar saya di ESBK Talent sangat agresif dan laju. Ia membuatkan agak sukar untuk saya ke depan, tapi itu buatkan saya lebih bersemangat untuk terus tingkatkan kemampuan saya," katanya.

Qabil menyatakan dia berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan pasukannya, Frando Racing VHC Team Liqui Moly.

"Mekanik saya sangat bagus dan kami saling memahami antara satu sama lain. Dari segi tetapan jentera pun saya rasa sangat selesa," kata Qabil yang menambah berulang-alik antara Malaysia dan Sepanyol tidak menjejaskan tumpuannya untuk memberikan yang terbaik di litar.