QABIL Irfan Sedia Harumkan Nama Malaysia
Saingan musim ini menyaksikan Qabil Irfan menggalas cabaran bersama pasukan MLav Junior Team yang berpangkalan di Britain dan diiktiraf sebagai antara program pembangunan bakat terkemuka di Eropah
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/20/20261 min read


PROSPEK sukan permotoran negara, Qabil Irfan Azlan jelas tidak sabar untuk memulakan kempen sulungnya di pentas Moto4 European Cup 2026 yang dijadual membuka tirainya di Litar Barcelona-Catalunya, hujung minggu ini.
Hadir dengan reputasi hebat selaku juara keseluruhan Kejuaraan ESBK Talent musim lalu, pelumba kelahiran Terengganu itu kini bersedia mengharungi laluan yang lebih mencabar di pentas Eropah.
Bagi saingan musim ini, Qabil menggalas cabaran bersama pasukan MLav Junior Team yang berpangkalan di Britain dan diiktiraf sebagai antara program pembangunan bakat terkemuka di Eropah serta memiliki rekod cemerlang dalam kancah JuniorGP serta kelas Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia.
Mengulas aksi minggu ini, Qabil bertekad untuk tidak sekadar menjadi pelengkap jadual, sebaliknya mahu meletakkan dirinya sebagai antara pencabar utama di litar legenda Sepanyol itu.
"Saya sangat teruja untuk memulakan cabaran di Moto4 European Cup kerana ini adalah satu peluang besar untuk saya belajar dan bergeser bahu dengan barisan pelumba terbaik di Eropah. Sudah tentu, sasaran utama saya adalah untuk memberikan aksi terbaik dan bersaing di kelompok hadapan," kata Qabil.
Meskipun hadir dengan status juara ESBK Talent, Qabil menyedari standard perlumbaan kali ini berada pada kelas yang berbeza sekali gus menuntut pengorbanan dan komitmen yang jauh lebih tinggi.
"Saya tahu cabaran di sini sangat berbeza dan tahap persaingannya pasti lebih tinggi. Jadi, saya perlu bekerja dengan lebih keras, terutamanya dari segi tahap kecergasan, proses adaptasi dengan jentera serta kelajuan memahami selok-belok litar dengan lebih baik.
"Alhamdulillah, setakat ini saya rasa semakin serasi dengan jentera. Saya akan cuba lakukan yang terbaik pada perlumbaan hujung minggu ini dan amat berharap dapat mengharumkan nama Malaysia di sana," katanya.

